BUKIT MERTAJAM, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM70 juta kepada hampir 2,000 usahawan India di seluruh negara menerusi Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 (MUDRA) setakat ini.
Menterinya, Steven Sim berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada dana keseluruhan berjumlah RM220 juta yang diumumkan baru-baru ini, bagi membantu memperkasakan usahawan masyarakat India di negara ini.
“Saya harap lebih ramai lagi usahawan akan tampil mengambil bahagian dalam program kami MUDRA, iaitu program di bawah Power Up 10,000 untuk merancakkan dan membantu perniagaan rakyat Malaysia.
"Komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk terus memperkasakan sektor usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tunjang utama pembangunan ekonomi negara, termasuk memastikan pembangunan keusahawanan yang lebih inklusif melibatkan komuniti India melalui pelbagai skim khas dan bantuan bersasar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Jualan serta Sesi Libat Urus Usahawan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) bersama agensi-agensi KUSKOP bersempena dengan sambutan Hari Ibu.
Program yang dianjurkan oleh MAICCI itu menghimpunkan kira-kira 30 usahawan tempatan dengan 10 reruai agensi di bawah KUSKOP mengambil bahagian bagi membuka ruang jaringan, khidmat nasihat serta peluang pembiayaan kepada PMKS setempat.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam mengucapkan tahniah kepada MAICCI dan Kuil Sri Muniswarar atas kejayaan menganjurkan karnival berkenaan yang disifatkannya sebagai platform penting untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan rakyat.
KUSKOP turut mengalu-alukan penganjuran siri jelajah Karnival Usahawan India oleh MAICCI di seluruh negara, dan akan memberikan kerjasama penuh termasuk menggerakkan agensi-agensi di bawahnya untuk menyertai program berkenaan.
Penyertaan agensi KUSKOP dalam karnival itu bertujuan memberikan penerangan, informasi serta menyediakan perkhidmatan secara terus kepada usahawan India yang mengambil bahagian.
Menyentuh tentang pembangunan semula bangunan Persatuan India Bukit Mertajam, Sim berkata bangunan bersejarah yang ditubuhkan pada 1952 itu akan dibangunkan semula sebagai simbol masyarakat India di Bukit Mertajam, selain untuk kemudahan masyarakat umum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial