Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AMANITA Perkukuh Pencegahan Jenayah Berasaskan Komuniti - Ayob Khan

10/05/2026 06:04 PM

GEORGE TOWN, 10 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh pendekatan pencegahan jenayah berasaskan komuniti melalui penglibatan aktif masyarakat, khususnya wanita dan suri rumah menerusi inisiatif Skuad Aman Wanita (AMANITA) serta penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata usaha memelihara keharmonian masyarakat memerlukan sikap saling menghormati, mengelakkan provokasi serta mengekalkan silaturahim.

Beliau berkata pendekatan komuniti melalui AMANITA amat penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan kejiranan.

Ad Banner
Ad Banner

“AMANITA atau ‘Peace Lady’ merupakan inisiatif PDRM yang memperkasakan golongan wanita sebagai rakan strategik polis dalam usaha pencegahan jenayah.

“Matlamat utama AMANITA adalah untuk mengurangkan kadar jenayah melalui pendekatan proaktif dengan menjadikan golongan wanita sebagai mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat aktiviti jenayah dan isu sosial yang berlaku di kawasan kejiranan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Ayob Khan berkata setakat 30 April lepas, sebanyak 22,882 Rakan AMANITA telah direkodkan di Kontinjen Pulau Pinang, sekali gus menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan program tersebut.

Pada masa sama beliau turut menekankan kepentingan penggunaan VSP sebagai pelengkap kepada AMANITA dalam memperkukuh sistem pencegahan jenayah.

“Melalui aplikasi VSP, masyarakat boleh menghantar laporan, gambar, video dan lokasi kejadian secara terus kepada PDRM untuk tindakan segera. Gabungan antara AMANITA dan VSP telah membuktikan bahawa teknologi dan kerjasama komuniti mampu memperkukuh keselamatan awam secara lebih berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai diseru agar terus bekerjasama dengan PDRM melalui penyaluran maklumat, penyertaan dalam program komuniti serta penggunaan aplikasi VSP bagi memastikan kawasan kediaman kekal selamat dan harmoni.

Ayob Khan berkata pelaksanaan program Taman Angkat AMANITA diharap akan terus memperkukuh hubungan polis dan masyarakat, di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PDRM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan