KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Sebanyak 47,000 pasangan dijangka mendapat manfaat daripada Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di bawah inisiatif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) tahun ini
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata program dengan slogan “Lebih Awal, Lebih Baik” itu menawarkan pembiayaan permanian beradas (IUI) hingga dua kitaran kepada pasangan yang layak.
Beliau berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan bagi menyediakan sokongan kepakaran, rawatan kesuburan serta advokasi kepada pasangan yang menghadapi masalah ketidaksuburan.
“Di kementerian, LPPKN, kita ada (menawarkan) pelbagai (inisiatif) untuk membantu pasangan di luar sana yang berhadapan dengan kesukaran mendapatkan zuriat antaranya IVF (persenyawaan in vitro) dan sekarang BuAI. Cuma untuk menentukan rawatan mana yang bersesuaian, mereka perlu menjalani saringan.
“Untuk rawatan ini, kita beri keutamaan kepada golongan B40 sebagai syarat asasi. Selain itu, syarat lain adalah penilaian dan pemeriksaan daripada pihak doktor,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim di sini hari ini dengan tema “Seteguh KASIH Ibu”.
Dalam ucapannya, Nancy berkata sejak 1979, LPPKN berperanan sebagai agensi pelopor dalam menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan rawatan kesuburan berkualiti kepada wanita dan pasangan yang berdepan cabaran mendapatkan zuriat.
“Melalui perkhidmatan kesuburan yang komprehensif pada harga berpatutan serta subsidi rawatan yang disediakan, LPPKN telah membantu ribuan wanita mencapai impian mereka. Sehingga kini, lebih 373,000 kes subfertiliti telah dikendalikan dengan 6,513 kehamilan berjaya direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan membangunkan Data Registri Subfertiliti Kebangsaan mengikut piawaian antarabangsa bermula tahun ini bagi menyokong penubuhan Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam, Selangor yang dijadual beroperasi pada 2030.
Menurutnya, pembangunan data registri itu akan memperkukuh usaha kerajaan dalam merancang, memantau dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesuburan secara lebih bersepadu dan berkesan.
Sementara itu, Nancy berkata tema “Seteguh KASIH Ibu” untuk sambutan Hari Ibu tahun ini adalah untuk meraikan ketabahan luar biasa wanita di Malaysia dalam memelihara keharmonian dan kebahagiaan keluarga.
Beliau berkata golongan ibu bukan sekadar pengurus rumah tangga tetapi juga tunjang utama dalam membentuk jiwa serta jati diri anak-anak.
“Selaras dengan Dasar KASIH Keluarga Negara, kerajaan akan memastikan sokongan terhadap wanita dan keluarga terus diperkukuh melalui pendekatan yang menyeluruh, inklusif dan berteraskan kesejahteraan institusi keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial