Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKM Peruntuk RM700,000 Untuk Perkasa Kampung, Sekolah Di Tasek Gelugor

08/05/2026 03:48 PM

TASEK GELUGOR, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM500,000 untuk pembangunan serta kesejahteraan penduduk Kampung Guar Petai di sini menerusi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI.

Selain Kampung Guar Petai, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora menerima peruntukan RM100,000 menerusi program Sekolah Angkat MADANI bagi menyokong usaha meningkatkan kemudahan dan pembangunan pendidikan di sekolah itu. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Kampung Angkat MADANI bukan sekadar program simbolik, sebaliknya pendekatan menyeluruh kerajaan melalui konsep whole of government bagi memastikan pelbagai agensi dan kementerian bergerak bersama-sama demi manfaat rakyat.

Ad Banner
Ad Banner

“Jika semua agensi bekerjasama, rakyat akan mendapat manfaat lebih cepat. Bagi Kampung Guar Petai, fokus utama ialah pembangunan komuniti dan pemerkasaan sektor pertanian. Ini sangat tepat kerana kampung ini mempunyai latar belakang komuniti agro dan di sini asas keterjaminan makanan negara bermula.

“KPKM sentiasa melihat masyarakat di kampung sebagai tulang belakang kepada keselamatan makanan negara,” katanya pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan MPKK Kampung Guar Petai, di sini hari ini.

Mohamad berkata antara projek yang dilaksanakan di Kampung Guar Petai ialah penurapan dan naik taraf jalan sepanjang kira-kira satu kilometer, membaik pulih rumah kategori usang, mendalam dan melebarkan longkang tanah sedia ada serta memangkas pokok.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata turut dilaksanakan ialah keceriaan masjid termasuk mengecat, penurapan parkir, pemasangan lampu, papan tanda serta enam tiang lampu solar.

Sementara itu, peruntukan kepada sekolah digunakan untuk kemudahan infrastruktur pejabat dan bilik guru melibatkan pembekalan lima penyaman udara serta masing-masing sebuah komputer meja dan mesin pencetak.

Ia juga melibatkan pelaksanaan kerja membaik pulih tandas murid yang tersumbat, pembekalan 16 unit kipas siling dan tebar layar dewan (empat), penggantian pintu tandas murid (tujuh) serta pintu kayu untuk masing-masing tiga kelas tahun tiga dan tahun empat, Bilik Muzik serta Bilik J-Qaf.

“Untuk akses pendidikan sekolah menerima pembekalan kelengkapan satu unit papan pintar untuk Studio Digital dan peralatan tambahan serta 20 unit televisyen pintar untuk kegunaan di dalam kelas selain pembekalan serta pemasangan paparan LED berserta papan tanda sekolah,“ katanya.

Bagi memperkasakan generasi muda dalam bidang pertanian moden, Mohamad berkata KPKM turut menyediakan tambahan RM100,000 untuk pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian kepada pelajar sekolah.

Beliau berkata Kerajaan MADANI mahu memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di bandar, sebaliknya kampung turut menerima limpahan pembangunan, kemudahan dan peluang ekonomi selain menekankan sektor pertanian yang semakin moden dan berteknologi tinggi mempunyai potensi besar untuk diceburi golongan muda.

Program dimeriahkan dengan kenduri rakyat dan Jualan Agro MADANI melibatkan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan potongan harga sehingga 30 peratus serta turut membabitkan usahawan tempatan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan. 

Dalam program itu, Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada golongan memerlukan di situ sementara Jabatan Pertanian mengagihkan 500 anak pokok kepada komuniti Kampung Guar Petai sebagai galakan aktiviti pertanian dan tanaman makanan pada peringkat isi rumah.

Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bagi memperkukuh pembangunan komuniti secara inklusif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, agensi dan komuniti setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan