Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bernama Anjur Forum Media HAWANA Esok, Bincang Isu Berkaitan Industri

06/05/2026 11:09 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Forum Media HAWANA 2026, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dijadualkan berlangsung esok sebagai platform untuk pihak berkepentingan dalam landskap media menyertai dialog dan bertukar-tukar pandangan berkaitan isu yang membentuk industri berkenaan.

Forum yang akan diadakan di ibu negara itu akan menghimpunkan pemimpin media, wartawan, ahli akademik, pengamal perhubungan awam, serta pensyarah dan pelajar dari universiti awam dan swasta.

Sekretariat Forum Media HAWANA 2026 dalam kenyataan memaklumkan forum itu akan meneliti cabaran dalam mengekalkan kelangsungan organisasi media semasa krisis, khususnya apabila pendapatan semakin terhad, serta membincangkan keperluan wartawan yang terus meningkat dalam menyesuaikan diri dengan landskap media yang semakin kompleks dan berkembang dengan pesat.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, forum tersebut akan menekankan kepentingan membentuk ekosistem media Malaysia yang berdaya tahan dan berpandangan jauh, terutamanya dalam konteks era digital dan kebangkitan kecerdasan buatan (AI).

"Beberapa orang Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia akan menyertai forum ini sebagai ahli panel, termasuk mengetuai sesi khas, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh profesionalisme dan tadbir urus dalam industri," menurut kenyataan itu.

Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching itu turut menampilkan wartawan terkemuka dan pakar industri yang akan berkongsi pandangan dan perspektif mereka dalam program yang kini berlangsung selama sehari, bertujuan menggalakkan perbincangan yang lebih dalam dan pertukaran idea yang lebih bermakna.

Ad Banner
Ad Banner

Forum Media HAWANA 2026 diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada 20 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan