Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Organisasi Media Digalak Mohon Segera Dana Inovasi, Fasa 5 Dibuka Hingga 14 Mei Ini - Teo

05/05/2026 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Organisasi media digalakkan untuk segera memohon Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang kini memasuki fasa kelima, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata permohonan fasa kelima itu dibuka dari 1 hingga 14 Mei, dengan setiap organisasi layak memohon hingga RM300,000 merangkumi empat skop utama, iaitu latihan kepada pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta pengukuhan kemudahan sokongan dan kandungan.

Setakat fasa pertama, sebanyak 34 organisasi media telah diluluskan dana berjumlah RM12.38 juta, manakala permohonan bagi fasa kedua hingga keempat masih dalam peringkat kelulusan.

Ad Banner
Ad Banner

“Jadi saya harap organisasi media yang belum memohon, sila ambil peluang ini kerana ini sudah sampai fasa kelima, mungkin kalau dana ini sudah habis kita tidak akan buka untuk fasa enam atau tujuh dalam tahun ini lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Datuk Roslan Ariffin, Ketua Bahagian Akademik IPPTAR Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof dan Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia (MMM) Teh Athira Yusof.

Ad Banner
Ad Banner

Mengulas lanjut, Teo berkata dana itu diwujudkan bagi membantu industri media yang berdepan cabaran ketara susulan perubahan landskap pengiklanan.

“Jadi kita harap dana ini boleh membantu media kita, terutamanya apabila organisasi media sekarang memang menghadapi satu cabaran, yang kita tahu semua keuntungan iklan-iklan sekarang diambil oleh platform media sosial,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan kepentingan literasi digital dan amalan semakan fakta dalam kalangan masyarakat yang dipacu teknologi AI, susulan peningkatan penyebaran maklumat palsu.

Beliau berkata sebagai contoh, inisiatif AIFA (Artificial Intelligence Fact Check Assistant), sebuah chatbot di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang boleh diakses melalui WhatsApp dalam pelbagai bahasa.

“Ini satu aplikasi yang dibangunkan oleh MCMC. (Walaupun) mungkin bukan semua soalan boleh dijawab oleh AIFA, tetapi yang penting adalah apabila kita nampak atau terima sesuatu informasi, jangan kita cepat share (berkongsi),” katanya sambil menambah budaya semakan fakta perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata sejak dilancarkan pada 2025, AIFA menerima purata 434 pertanyaan sehari, namun usaha promosi perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai pengguna memanfaatkan platform berkenaan.

Terdahulu, Teo dalam ucapan penutup program itu berkata MMM kini melaksanakan Fasa Dua Mekanisme Aduan yang bermula pada 8 April lepas, dengan semua aduan perlu dikemukakan melalui platform rasmi dan bukan lagi melalui e-mel.

Beliau berkata pendekatan itu bagi memastikan pengurusan aduan lebih tersusun, telus dan profesional, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan masyarakat.

“Hingga 30 April 2026, MMM telah menerima 10 aduan melibatkan isu ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran dan kesan kandungan terhadap keharmonian sosial. Daripada jumlah tersebut, lima aduan telah berjaya diselesaikan, manakala bakinya sedang dalam proses semakan,” katanya.

Kursus AI, Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media yang berlangsung selama dua hari anjuran IPPTAR dengan kerjasama MMM itu, melibatkan 27 peserta dalam kalangan pengamal media pelbagai platform, yang memfokuskan kepada AI, keselamatan dalam talian dan etika pelaporan media dalam menghadapi cabaran teknologi semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan