Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kompleks Pendidikan Negeri Perak, Program SDH Di HRPB, Bakal Perkukuh Akses Pendidikan

05/05/2026 01:19 PM

IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Perasmian Kompleks Pendidikan Negeri Perak serta program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini bakal meningkatkan lagi akses pendidikan di negeri ini melalui penyediaan infrastruktur yang lebih moden dan inklusif.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pembinaan kompleks pentadbiran baharu yang menelan kos RM56 juta itu bertujuan untuk memperkukuh keupayaan pengurusan pendidikan agar penyampaian perkhidmatan kepada guru, murid serta ibu bapa menjadi lebih cekap dan berkesan.

"Jadi dengan adanya sinergi KPM (Kementerian Pendidikan) dan juga JKR (Jabatan Kerja Raya) ini, ia akan memantapkan lagi khususnya dalam konteks penyediaan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan juga dapat memberikan manfaat kepada para pelajar kita khususnya. 

Ad Banner
Ad Banner

"Hari ini (pembinaan kompleks) diterjemahkan melalui sinergi yang sangat kukuh dan memberikan manfaat kepada seluruh warga kerja KPM khususnya JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Kompleks Pendidikan Negeri Perak itu, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Datuk Ibrahim Esa dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM Datuk Wan Hashim Wan Rahim.

Ad Banner
Ad Banner

Fadhlina berkata pembinaan kompleks tersebut di kawasan seluas 6.2 ekar (2.436 hektar) itu dimulakan pada 2022 dan siap sepenuhnya pada Mac lepas dengan menampilkan identiti unik seni bina tempatan sebagai mercu tanda pendidikan negeri.

Beliau berkata kompleks baharu JPN Perak itu kini telah mula didiami secara berperingkat, namun operasi sepenuhnya dijangka bermula pada awal Julai.

"Antara fasiliti yang ada ialah makmal komputer dan pelbagai fasiliti lengkap khususnya untuk memastikan isu yang terkait dengan penggunaan maksimum serta optimum di JPN ini dapat kita laksanakan," katanya.

Mengenai inisiatif program SDH di HRPB itu Fadhlina berkata ia bertujuan bagi memastikan murid yang sedang menjalani rawatan tidak tercicir daripada arus pembelajaran perdana.

Katanya, sebanyak 21 program SDH telah dilaksanakan di 12 negeri di seluruh negara dengan penglibatan 18 hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah memberi manfaat kepada lebih 454,000 orang murid setakat ini.

"Program SDH di HRPB ini membawa makna yang sangat besar kerana ia lahir daripada keperluan sebenar untuk memastikan akses pendidikan dapat diteruskan walau dalam keadaan yang paling mencabar," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada pelancaran komplek tersebut Fadhlina berkata usaha konsisten Perak dalam merapatkan jurang pembangunan infrastruktur antara kawasan bandar dan luar bandar merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan di negeri itu.

Beliau berkata suasana pembelajaran yang kondusif melalui kemudahan fasiliti yang baik memberikan kesan langsung kepada pencapaian akademik pelajar, sekali gus membuktikan pembangunan infrastruktur adalah nadi kepada kecemerlangan pendidikan.

"Salah satu yang menyebabkan kejayaan di Perak ini adalah kerana (ia) antara negeri yang konsisten dari segi mengurangkan dan merapatkan kesenjangan bandar dan luar bandar dari soal fasiliti, pembangunan fasiliti, yang seterusnya meningkat aspek pendidikan," katanya.

"Jadi saya ucapkan tahniah, semoga semua infrastruktur pembangunan di negeri ini akan dapat terus merapatkan kesenjangan serta memberikan peluang akses pendidikan kepada anak-anak kita," katanya.

Fadhlina berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang menekankan pengukuhan kecekapan penyampaian di peringkat negeri dan daerah sebagai penghubung utama dasar serta pelaksanaan di sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan