Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penggubalan RUU Perubahan Iklim Pada Fasa Akhir, Dijangka Bentang Di Parlimen Julai Ini

04/05/2026 01:50 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan kini di fasa akhir memuktamadkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) dan RUU Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara (IKLIM) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kedua-dua RUU itu sebagai langkah memperkukuh kerangka perundangan negara dalam mendepani krisis iklim global.

"Ini merupakan langkah kritikal bagi memastikan negara mempunyai kerangka perundangan yang kukuh dalam mendepani krisis iklim global. 

Ad Banner
Ad Banner

"Kita mahu memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang mampan dan berdaya tahan," katanya ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini hari ini.

RUU PIN akan memperkenalkan sistem pemantauan, pelaporan dan verifikasi (MRV) sebagai asas utama pelaksanaan mekanisme harga karbon dan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Sistem MRV itu mempunyai metodologi pengiraan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang seragam merentas sektor ekonomi bagi memastikan ketelusan serta keabsahan data serta pembentukan registri karbon kebangsaan yang berintegriti.

Ad Banner
Ad Banner

Penggubalan RUU PIN juga membolehkan pelaksanaan harga karbon secara berfasa dan berstruktur sebelum instrumen lain seperti cukai karbon dan mekanisme pasaran karbon diperkenalkan.

Sementara itu, Arthur berkata NRES turut komited menunaikan amanah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan memperkukuh hak Sabah dan Sarawak, termasuk memuktamadkan pindaan akta bagi membolehkan kedua-dua negeri mengurus sendiri sisa buangan terjadual.

“Proses pemulangan tanah Persekutuan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak turut dimuktamadkan untuk dimanfaatkan bagi projek komuniti setempat,” katanya, sambil menegaskan langkah itu mencerminkan komitmen terhadap pembangunan inklusif serta penghormatan hak wilayah.

Mengulas mengenai keutamaan NRES, beliau berkata pengukuhan Jabatan Alam Sekitar adalah antara yang akan diberi perhatian memandangkan kapasiti semasa hanya melibatkan 1,041 anggota penguatkuasaan di seluruh negara.

Katanya cadangan penubuhan cawangan tetap di Pelabuhan Klang sedang diteliti sebagai langkah strategik memperkukuh keselamatan sempadan dan kesihatan awam.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan menambah baik sistem penyampaian maklumat cuaca dan kualiti udara melalui pembangunan inisiatif Community Multi-Scale Air Quality (CIMEQ) bagi meningkatkan keupayaan analisis serta ramalan pencemaran dan jerebu rentas sempadan.

"Pada masa sama, penglibatan Malaysia dalam inisiatif Early Warnings for All menyasarkan perlindungan menyeluruh kepada rakyat daripada risiko bencana menjelang 2027," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan