Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Elaun Pasca Cuti Bersalin Lindungi Ibu Bekerja, Bina Masa Depan Tenaga Kerja Lebih Baik - Pakar

03/05/2026 11:07 AM

Oleh Tan Su Chiat

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) yang diumumkan oleh kerajaan bukan sahaja melindungi kebajikan ibu bekerja tetapi juga menjadi asas kepada pembentukan tenaga kerja yang berdaya tahan pada masa hadapan, kata pakar sumber manusia (HR).

Ku Sim Ling, yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam industri penyelesaian sumber manusia, berkeyakinan majikan akan lebih terbuka untuk menyokong inisiatif itu kerana kos elaun tersebut ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ad Banner

“Saya secara peribadi pernah mendengar kes pekerja, kebanyakan yang kali pertama bergelar ibu, memilih untuk mengambil cuti sabatikal tanpa gaji kerana bimbang untuk berjauhan dengan bayinya yang baru lahir.

“Jadi, inisiatif ini memberi mereka kelegaan untuk mengambil cuti tanpa gaji kerana beban kewangan yang ditanggung dapat diringankan melalui elaun ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berharap majikan akan lebih terbuka dalam mengambil bekerja dan menaikkan pangkat wanita yang dalam tempoh usia reproduktif kerana isu ibu bekerja bukan hanya berkaitan kos, tetapi juga melibatkan faktor kesulitan dan kesinambungan kerja serta sikap bias tanpa sedar.

Ad Banner
Ad Banner

“Perubahan pemikiran tidak berlaku dalam sekelip mata, dan walaupun dasar yang baik boleh mengurangkan beban kewangan, ia tidak akan menghapuskan sikap bias dengan sendiri,” katanya.

Kim mencadangkan agar PERKESO lebih proaktif dalam usaha di peringkat akar umbi untuk mendidik majikan, khususnya daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini bagi memastikan inisiatif tersebut difahami dengan betul dan dilaksanakan secara meluas.

“Usaha sebegini biasanya memberi kesan positif jangka panjang kerana ibu yang kekal dalam tenaga kerja akan terus menyumbang dari segi cukai, sambil dapat membesarkan anak-anak yang akhirnya menjadi generasi tenaga kerja negara akan datang yang lebih berdaya tahan,” tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2026 pada Jumaat lepas, berkata kerajaan akan memperkenalkan Elaun Cuti Pasca Bersalin sebagai langkah progresif bagi menyokong penyertaan wanita dalam tenaga kerja serta mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan anak.

Anwar berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan dapatan bahawa kadar penyertaan tenaga kerja wanita, khususnya dalam kalangan mereka berumur 25 hingga 39 tahun, menunjukkan sedikit penurunan, sebahagiannya disebabkan oleh komitmen materniti.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan