MELAKA, 1 Mei (Bernama) -- Pengurusan aset yang cekap, berintegriti dan berteraskan teknologi digital menjadi pemangkin utama kepada keupayaan organisasi, khususnya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk kekal berdaya saing serta mampu mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata aset tidak lagi boleh dilihat sekadar sumber fizikal, sebaliknya perlu diurus sebagai pemacu nilai strategik yang menyumbang secara langsung kepada prestasi, produktiviti dan kelestarian organisasi.
“Pengurusan aset yang cekap membolehkan organisasi mengoptimumkan kos, meminimumkan risiko serta memaksimumkan pulangan melalui pendekatan menyeluruh meliputi perancangan, perolehan, penggunaan, penyelenggaraan sehingga pelupusan,” katanya pada majlis penutup Kursus Pemantapan Pengurusan Aset Alih Bernama, di sini hari ini.
Nur-ul Afida berkata setiap aset yang diamanahkan perlu diurus dengan penuh disiplin, ketelusan dan akauntabiliti tinggi bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau kecuaian yang boleh menjejaskan reputasi organisasi.
Beliau berkata integriti dalam pengurusan aset adalah asas penting dalam mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan, malah tidak boleh berkompromi dalam aspek pematuhan dan ketirisan kerana setiap kelemahan akan memberikan kesan langsung kepada reputasi organisasi.
“Aset organisasi adalah amanah dan setiap keputusan berkaitan aset perlu dibuat berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik serta mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi seperti sistem bersepadu, analitik data dan pemantauan masa nyata perlu diperkasakan selaras dengan arus pendigitalan sebagai antara agensi yang menyahut seruan kerajaan ke arah pendigitalan melalui transformasi prasarana ICT, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Bernama kini ke arah mentransformasikan sistem pengurusan aset baharu bagi memperkukuh aspek penyelenggaraan, pemantauan dan pengurusan aset di semua premisnya di seluruh negara.
"Langkah itu melibatkan aset di Wisma Bernama, pejabat-pejabat negeri serta pejabat koresponden dengan nilai jutaan ringgit, dan untuk itu saya berharap kursus ini juga akan menjadi persediaan kepada wakil-wakil aset yang dilantik untuk menghadapi transformasi ini," katanya.
Beliau berkata wakil aset perlu lebih bersedia dengan ilmu dan input sewajarnya bagi membantu kerja penyelenggaraan serta pemeriksaan aset secara lebih sistematik, kerana pengurusan aset yang cekap bukan sahaja penting untuk mengoptimumkan kos, malah berperanan dalam meminimumkan risiko yang boleh memberikan kesan langsung kepada prestasi dan kedudukan organisasi.
Nur-ul Afida berkata peranan wakil aset amat penting walaupun mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan tanpa sebarang imbuhan kewangan.
“Saya amat menghargai komitmen mereka dalam membantu pihak pengurusan memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan baik, dan dalam masa yang sama tanggungjawab menjaga aset tidak terhad kepada wakil aset semata-mata, sebaliknya melibatkan semua warga Bernama," katanya.
Terdahulu, sebanyak 35 wakil aset Bernama dari ibu pejabat dan biro menghadiri kursus itu yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 April hingga hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial