Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MIMOS International Venture Percepat Pengkomersialan Teknologi Malaysia Pada Peringkat Global

01/05/2026 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- MIMOS International Venture Sdn Bhd (MIVSB) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Go-To-Market (GTM) baru-baru ini, sebagai usaha strategik untuk mempercepat pengkomersialan dan pelaksanaan teknologi yang dibangunkan di Malaysia pada peringkat global.

MIVSB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu mencerminkan peralihan MIMOS daripada penyelidikan dan pembangunan kepada pelaksanaan, kemasukan kepada pasaran serta pengembangan berskala global bagi inovasi yang telah sedia untuk dikomersialkan.

Peralihan berkenaan selaras dengan keutamaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ad Banner

“Inisiatif GTM ini direka untuk mempercepat pengkomersialan teknologi yang menjana pendapatan, dengan potensi pasaran global yang kukuh, menyokong pelaksanaan projek perintis di beberapa rantau strategik termasuk Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), serta Asia Tengah, yang menyasarkan penjanaan pendapatan bermula pada 2026,” menurut kenyataan itu.

Fokus utama inisiatif berkenaan adalah pelaksanaan kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian kolaborasi, yang membolehkan teknologi terpilih melalui fasa pengesahan komersial, pelaksanaan serta peningkatan skala.

Menurut MIVSB, pihaknya terus mempercepat pengembangan teknologi MIMOS pada peringkat global melalui perkongsian strategik di Asia Tengah, Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Ad Banner
Ad Banner

“MoU dengan Wilayah Syrdarya itu mewujudkan asas bagi ‘Central Asia Green-Tech, Digital and Manufacturing Hub,’ yang meletakkan rantau berkenaan sebagai peneraju industri mampan menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama strategik dengan Universiti Brunei Darussalam dan DMW International Sdn. Bhd. pula memperkukuh perkongsian serta kehadiran dalam pasaran di rantau masing-masing.

MIVSB turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan ECT Sdn Bhd, Aspansuri Corporation Sdn Bhd dan RS & GIS Global Sdn Bhd, yang merangkumi teknologi penyahkarbonan, teknologi perubatan, risikan geospatial serta penyelesaian inovasi digital.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong berkata MIMOS Berhad sejak sekian lama menggalas amanah sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara dalam bidang semikonduktor, mikroelektronik dan ICT, dengan membina asas kukuh dalam harta intelek, bakat serta ekosistem inovasi.

“Hari ini, melalui MIVSB, kami sedang melangkah ke  fasa seterusnya dengan menterjemahkan keupayaan itu kepada hasil komersial berskala besar, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan teknologi global melalui pelaksanaan Go-To-Market yang berstruktur,” katanya.

Pengarah Urusan MIVSB Mohamad Azriani Abd Aziz pula berkata inisiatif GTM itu mencerminkan mandat MIVSB untuk mempercepat pengkomersialan teknologi yang dibangunkan MIMOS menjadi penyelesaian global pada skala yang lebih meluas. 

“Kami menghubungkan inovasi dan pelaksanaan dengan memajukan teknologi sedia ada ke pasaran melalui laluan komersial yang berstruktur, perkongsian strategik serta pelaksanaan pada peringkat antarabangsa.

“Ini sebagai langkah untuk menempatkan Malaysia sebagai penyedia penyelesaian global yang berdaya saing dan memberikan impak yang nyata serta boleh diukur,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan