Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kesan Krisis Bekalan Global Dijangka Dirasai Dalam 1-2 Bulan Lagi - Tengku Zafrul

01/05/2026 12:15 PM

AMPANG, 1 Mei (Bernama) -- Kesan krisis bekalan global terhadap kos sara hidup dijangka mula dirasai rakyat Malaysia dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata perkara ini didorong oleh peningkatan kos dalam rantaian bekalan termasuk logistik, baja serta input industri lain.

“Berdasarkan kajian dan analisis yang dijalankan, kesan ini akan memberi impak kepada harga makanan dan barangan harian, walaupun kenaikannya mungkin tidak begitu ketara pada peringkat awal,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan tinjauan ke Pasar Taman Muda, di sini, hari ini.

Ad Banner

Tengku Zafrul berkata antara sektor yang dijangka terkesan terlebih dahulu ialah logistik, diikuti pertanian serta industri yang bergantung kepada bahan mentah seperti plastik.

Beliau berkata situasi itu merupakan kesan daripada gangguan rantaian bekalan global yang bukan sahaja memberi tekanan kepada harga minyak, tetapi turut melibatkan kos input pengeluaran dan pengedaran.

Mengenai tinjauan di pasar tersebut, Tengku Zafrul berkata setakat ini kesan terhadap harga bahan mentah masih belum ketara, namun terdapat tanda awal seperti kenaikan kos bahan pembungkusan seperti plastik.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan dalam negara masih terkawal berikutan subsidi bahan api yang membantu mengekang kos pengangkutan, sambil mengingatkan rakyat supaya lebih berhemah dalam penggunaan tenaga termasuk bahan api.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan