Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TH Sedia Perkhidmatan Bas Ulang-alik Percuma Ke Masjidil Haram

30/04/2026 06:56 PM

Oleh Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 30 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) buat julung kali menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma 24 jam dari hotel penginapan ke Masjidil Haram bermula hari ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata sebanyak lapan bas disediakan khusus untuk jemaah Malaysia sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan menyeluruh agensi berkenaan.

Ad Banner

Beliau berkata perkhidmatan itu melibatkan laluan dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Masjidil Haram. 

“Penggunaan bas ini mampu memendekkan masa perjalanan daripada kira-kira 30 minit berjalan kaki kepada sekitar lima hingga 15 minit sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas ulang-alik itu di sini pada Khamis. 

Mohd Hisham berkata kemudahan itu memberi alternatif lebih baik kepada jemaah untuk ke masjid pada bila-bila masa, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata perkhidmatan bas itu akan beroperasi sehingga 2 Zulhijah (19 Mei) sebelum jalan utama ditutup bagi persiapan operasi masyair.

Operasi masyair ialah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula pada 8 hingga 13 Zulhijah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

“Inisiatif ini juga diharapkan dapat membantu memelihara tahap kesihatan jemaah, terutama menjelang kemuncak musim haji iaitu hari wukuf, memandangkan keadaan cuaca semakin panas,” katanya.

Bagi musim haji 1447H/2026M, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah bagi menempatkan 31,600 jemaah iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan