MELAKA, 30 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyita sebanyak 31,279 unit aksesori telefon bimbit tiruan jenama terkemuka bernilai RM132,086 dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Teknologi Cheng, di sini semalam.
Pengarah KPDN negeri, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata dalam serbuan pada 11 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang mengaku sebagai pemilik perniagaan dan pengurus gudang berkenaan.
Beliau berkata serbuan dilakukan tujuh penguat kuasa KPDN dengan turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar syarikat pengeluar telefon pintar tersebut dan ketika serbuan, pekerjanya sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan aksesori untuk dijual secara dalam talian.
"Hasil serbuan, pelbagai aksesori telekomunikasi tiruan ditemukan dengan menggunakan cap dagang atau logo pengeluar syarikat telefon terkenal di dunia seperti selongsong telefon bimbit (phone case), fon telinga, kabel pengecas dan kotak telefon.
"Siasatan awal mendapati gudang berkenaan telah beroperasi kira-kira tiga tahun lepas dan kesemua aksesori tiruan itu dijual di pelbagai platform dalam talian dan perniagaan itu juga mempunyai ejen jualan dalam talian," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata aksesori tiruan yang diperoleh bekalan dari China itu, dijual tiga kali lebih murah daripada harga aksesori asli dan perniagaan tersebut dianggarkan mengaut keuntungan kira-kira RM1 juta setahun.
Katanya aksesori berkenaan turut dilengkapi dengan kad jaminan yang didakwa dari California, Amerika Syarikat bagi menarik pembeli dari dalam dan luar Melaka.
Mohd Hazimin berkata pihaknya juga masih menyiasat sama ada gudang berkenaan turut menjual telefon bimbit kerana ketika serbuan dilakukan ratusan kotak telefon kosong ditemukan.
Beliau berkata gudang tersebut disita bagi memastikan operasi penjualan aksesori tiruan telefon pintar dapat dihentikan dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019 kerana memiliki barangan yang menggunakan cap dagang palsu untuk tujuan perdagangan.
Jika sabit kesalahan bagi individu, boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula, boleh didenda RM15,000 bagi setiap barangan tiruan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial