Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HRPZ Ii Sasar Jadi Pusat Rujukan Sarcoma Nasional, Asia

30/04/2026 04:51 PM

KOTA BHARU, 30 April (Bernama) -- Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II berhasrat muncul sebagai pusat rujukan utama tumor muskuloskeletal pada peringkat nasional dan Asia, khususnya bagi rawatan sarcoma atau kanser tulang.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata hospital itu merekodkan peningkatan lebih 50 peratus rujukan kes sarcoma pada tahun lepas, selain berjaya melaksanakan 133 prosedur pembedahan.

Beliau berkata Pasukan Sarcoma HRPZ II yang ditubuhkan tahun lepas turut mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan osteosarkoma yang pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan teknik cecair nitrogen, melibatkan pesakit kanak-kanak berusia tiga tahun.

Ad Banner

“Setakat tahun ini, lima pesakit telah berjaya menjalani pembedahan. Kejayaan inovasi ini membuktikan kepakaran tinggi pasukan dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya pada Program East Coast Sarcoma Symposium 2026 di HRPZ II, di sini hari ini.

Dr Mohd Azman berkata ramai pesakit menunjukkan peningkatan ketara dari segi tahap kesihatan, termasuk kadar kelangsungan hidup dan prognosis yang lebih baik.

Pencapaian itu membuktikan potensi Pasukan Sarcoma HRPZ II untuk menjadi model rujukan kepada hospital lain di negara ini, seterusnya mengorak langkah ke peringkat Asia, selain rawatan yang menelan kos antara RM30,000 hingga RM50,000 kini ditanggung melalui tabung perubatan hospital dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Kanser Nasional.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata sarcoma ialah kanser yang jarang berlaku, tetapi memberikan kesan serius dengan lebih 70 subjenis yang menjadikan diagnosis dan rawatan lebih kompleks, justeru kesedaran, pengesanan awal serta kerjasama pelbagai kepakaran amat penting bagi memastikan pesakit mendapat peluang terbaik untuk sembuh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan