Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

90 Peratus Kes Kesalahan Buang Sampah Di Melaka Libatkan Puntung Rokok

30/04/2026 07:05 PM

MELAKA, 30 April (Bernama) -- Kira-kira 90 peratus daripada 425 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) yang dikeluarkan di Melaka melibatkan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.

Pengarah SWCorp negeri Nor Zaki Md Nor berkata notis berkenaan dikeluarkan menerusi 353 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak awal tahun ini hingga semalam.

“Selebihnya kes melibatkan pembuangan sisa plastik, bekas makanan serta botol minuman dan kebanyakan notis dikeluarkan di tempat tumpuan awam di kawasan pelancongan.

Ad Banner

"Sebanyak 27 kes telah disabitkan di mahkamah, namun terdapat sembilan individu yang gagal hadir bagi sebutan kes,” katanya kepada pemberita pada program Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Zaki berkata bagi mereka yang gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap telah dikeluarkan dan ia menunjukkan kesalahan itu adalah serius kerana melibatkan proses perundangan.

Dalam pada itu beliau berkata pelaksanaan PKM pertama di negeri itu melibatkan empat individu berusia antara 23 hingga 40 tahun yang melakukan kerja pembersihan di kawasan Pulau Melaka.

Ad Banner
Ad Banner

“Tiga daripadanya diperintahkan mahkamah menjalani perintah selama 12 jam manakala seorang lagi selama empat jam.

"Setiap sesi berlangsung selama empat jam dan seorang daripada mereka telah selesai menjalani keseluruhan tempoh hukuman hari ini, manakala tiga lagi akan meneruskan baki tempoh dalam siri pelaksanaan seterusnya," katanya.

Nor Zaki turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan atau menyimpannya sementara sekiranya tiada tong sampah.

“Usaha kesedaran ini telah lama dilaksanakan namun kini penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan tahap kebersihan awam terus terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan