Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Perlu Beralih Kepada Pendekatan Pencegahan Dalam Dasar Pengurusan Cerun

29/04/2026 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Malaysia perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan dalam dasar pengurusan cerun bagi melindungi infrastruktur negara dan memastikan kesinambungan rangkaian pengangkutan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata cerun tidak lagi wajar dilihat sekadar isu teknikal, sebaliknya sebagai aset kritikal yang memberikan kesan langsung kepada keselamatan awam, kestabilan sistem pengangkutan dan daya tahan  negara.

“Hakikatnya, masalah cerun membawa kesan yang bukan sekadar kerosakan fizikal. Ia boleh mengganggu hubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, menjejaskan rantaian logistik, meningkatkan kos operasi.

Ad Banner

“Dan yang paling penting menghakis keyakinan rakyat terhadap kualiti serta kemampuan infrastruktur negara kita,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Cerun 2026 (ICOS 2026) di sini hari ini.

Nanta berkata keutamaan dasar perlu menumpukan kepada pelaburan dalam pencegahan serta intervensi awal berasaskan data bagi memaksimumkan hasil keselamatan.

Beliau berkata pengurusan cerun dilihat melalui tiga perspektif utama, iaitu daya tahan perkhidmatan, kecekapan kos serta tadbir urus dan kewangan.

Ad Banner
Ad Banner

Infrastruktur, khususnya rangkaian jalan raya perlu kekal berfungsi ketika cuaca ekstrem bagi mengurangkan risiko gangguan serta membolehkan pemulihan segera, manakala pendekatan pencegahan adalah lebih menjimatkan berbanding kerja pembaikan selepas berlakunya masalah cerun.

Beliau berkata isu berkaitan cerun memerlukan pengurusan bersepadu melibatkan pelbagai pihak serta rangka kerja tadbir urus yang berkesan.

Dalam pada itu, Nanta berkata ICOS 2026 berperanan sebagai platform untuk merangka pelan tindakan pengurusan cerun, memperkukuh sistem amaran awal serta memperkenalkan penyelesaian praktikal dan inovatif bagi menangani cabaran operasi.

“Keselamatan cerun bukan sekadar tugas teknikal, tetapi komitmen jangka panjang yang kita perlu digalas demi rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pakar antarabangsa yang hadir pada persidangan itu, sambil berkata kepakaran global dan perkongsian pandangan amat penting dalam menangani cabaran pengurusan cerun berikutan ketidakpastian iklim.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan