Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dr Wan Azizah Seru Persekitaran Kondusif Menyokong Pemimpin Wanita Terus Diwujudkan

29/04/2026 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru persekitaran kondusif yang menyokong, membimbing dan memperkasakan pemimpin wanita untuk berjaya dalam semua sektor terus diwujudkan. 

Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri menekankan bahawa persekitaran dan sokongan seperti itu penting ketika negara sedang berusaha memupuk lebih ramai wanita dalam peranan kepimpinan. 

“Hari ini, peluang untuk wanita di Malaysia telah berkembang dengan ketara. 

Ad Banner

“Namun, masih ada cabaran dalam mengimbangi tanggungjawab profesional, peranan dalam keluarga dan jangkaan masyarakat,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku The Malay Girls' College, November 1947 – March 1962: A Pioneering Story di sini hari ini. 

Ditubuhkan pada 1947 di Damansara (kini Bukit Damansara) di sini, Malay Girls’ College kemudiannya berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan pada 1962 dan dinamakan semula sebagai Kolej Tunku Kurshiah (TKC). 

Beliau berkata semangat ketahanan diri, keberanian dan keazaman yang ditunjukkan pelajar perintis Malay Girls' College itu kekal relevan dalam menghadapi cabaran moden masa kini. 

Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan laluan telah mereka bantu buka ini terus diperluas untuk generasi kanak-kanak perempuan dan wanita muda akan datang,” katanya. 

Mengimbas kepentingan sejarah kolej itu, Dr Wan Azizah berkata institusi tersebut memainkan peranan penting dalam memajukan pendidikan wanita sedekad sebelum kemerdekaan.

Beliau berkata selain kurikulum akademik, kolej itu menerapkan nilai seperti kepimpinan, berdikari, empati serta pembinaan karakter yang kemudiannya menyumbang kepada kejayaan generasi wanita yang berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Dr Wan Azizah juga memuji pasukan penulis atas inisiatif menerbitkan buku itu dalam bentuk menarik dan bermakna, menyifatkan ia tugas sukar untuk mendokumentasikan kisah sebuah sekolah yang tidak lagi wujud secara fizikal, terutamanya apabila kebanyakan bekas petugas dan pelajar telah meninggal dunia.

“Buku ini hasil usaha penuh kasih sayang yang didedikasikan kepada warisan Malay Girls' College dalam memastikan kisahnya terus megah dan tidak pudar ditelan zaman.

“Buku ini mengingatkan kita apabila kita melabur dalam pendidikan seorang anak perempuan, kita sebenarnya melabur untuk masa depan sebuah negara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan