SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan bahawa Gedung Raja Abdullah akan dibuka semula sebagai Muzium Timah pada penghujung Disember ini, setelah lebih 10 tahun ditutup.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata tarikh pengoperasian semula gedung itu tertakluk pada kemajuan semasa kerja-kerja pemulihan dan proses naik taraf bangunan bersejarah itu.
Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 11 Feb lepas, yang kemudiannya disahkan dalam MMKN pada 27 Feb lepas bersetuju agar bangunan itu dipindahkan ke tapak baharu yang lebih sesuai di Taman Bandar Diraja Klang, iaitu bersebelahan Tugu Keris Klang.
“(Ini kerana) kedudukan (terkini) yang bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menyebabkan ia tidak menarik perhatian pengunjung selain kawasan sekitar juga mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang terhad dan trafik di sekitarnya sesak dengan orang awam yang mempunyai urusan dengan pihak polis.
“Sehubungan itu, pemindahan ke lokasi baharu yang lebih strategik adalah wajar bagi memastikan nilai warisan bangunan ini terus dipelihara serta dapat dimanfaatkan sebagai produk pelancongan dan pendidikan kepada masyarakat,” katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) mengenai status terkini Gedung Raja Abdullah yang ditutup lebih 10 tahun.
Borhan berkata bagi memastikan pengoperasian semula yang berkesan, kerajaan negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi pemuliharaan fizikal bangunan, penyediaan kandungan pameran berkualiti serta strategi promosi bersepadu bersama agensi berkaitan.
“Selain itu, muzium ini juga akan diintegrasikan dalam laluan pelancongan warisan Klang bersama tarikan lain seperti Masjid Diraja Sultan Suleiman dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz bagi memperkukuh ekosistem pelancongan warisan setempat.
“Pendekatan ini diyakini bukan sahaja dapat menghidupkan semula fungsi bangunan bersejarah tersebut, malah berpotensi menjadikannya sebagai produk pelancongan warisan yang ikonik dan berdaya saing di Selangor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial