Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 28 April (Bernama) -- Integrasi peta Google Walk dalam aplikasi THhujjaj adalah antara kemudahan digital disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu jemaah haji Malaysia mengelakkan risiko tersasar haluan, khususnya selepas menunaikan umrah pertama di Masjidil Haram.
Pengarah Operasi Maktab Mohd Fahmi Kamarudin berkata isu jemaah tersasar haluan untuk pergi dan balik ke penginapan antara cabaran yang sering dihadapi setiap musim haji, terutama melibatkan jemaah yang kurang arif dengan laluan sekitar Makkah.
“Masalah yang sering berlaku ialah jemaah haji tersasar haluan selepas menunaikan umrah pertama. Tahun ini, kita telah menyediakan peta integrasi Google Walk dalam THhujjaj untuk memastikan jemaah haji dapat pulang daripada menunaikan umrah menuju ke bangunan penginapan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
THhujjaj turut menyediakan rujukan panduan ibadat, e-Taib (rujukan fatwa/persoalan) melalui Live Chat/WhatsApp untuk bimbingan pantas, jadual penerbangan, jadual pergerakan jemaah di Tanah Suci, informasi cuaca, lokasi maktab dan hospital dan nombor telefon Pusat Panggilan TH.
Mohd Fahmi berkata integrasi itu adalah kemudahan alternatif membolehkan jemaah mengakses panduan laluan berjalan kaki secara masa nyata terus melalui aplikasi THhujjaj, sekali gus memudahkan mereka navigasi perjalanan dari Masjidil Haram ke penginapan masing-masing.
Penggunaan teknologi dalam THhujjaj bukan sahaja memaparkan laluan, malah memberikan panduan yang lebih jelas dan mesra pengguna, termasuk kepada jemaah warga emas.
Mohd Fahmi berkata inisiatif itu turut mengurangkan kebergantungan jemaah kepada petugas haji, sekali gus membolehkan petugas memberikan tumpuan kepada aspek lain seperti bimbingan ibadah dan kebajikan.
“Peta ini bukan sahaja membantu dari segi navigasi, tetapi memberikan keyakinan kepada jemaah untuk bergerak sendiri tanpa rasa bimbang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini tiada masalah besar dilaporkan melibatkan jemaah haji Malaysia, termasuk daripada aspek kesihatan dan pergerakan sepanjang pelaksanaan umrah pertama.
Penggunaan peta Google Walk dalam THhujjaj dijangka terus diperkasakan sebagai antara komponen utama dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan jemaah sepanjang musim haji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial