Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Abang Minyak Hitam Jalanan Dan Dicky Terima Pengiktirafan Khas Sahabat Perpaduan Madani

27/04/2026 09:14 PM

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara hari ini memberikan pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan MADANI kepada Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan” dan Dicky atas nilai kemanusiaan, keikhlasan serta semangat perpaduan.

Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan Negara menerusi kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj sebagai tanda penghargaan terhadap insan biasa yang melakukan perkara luar biasa demi masyarakat.

“Kisah Mohd Yusof yang tular baru-baru ini menyentuh hati rakyat Malaysia apabila beliau membantu saudara Dicky yang berdepan kesulitan selepas motosikalnya rosak, tanpa mengharapkan sebarang balasan. 

Ad Banner

“Perbuatan itu bukan sahaja mencerminkan nilai ihsan, malah memperlihatkan perpaduan sebenar hidup melalui tindakan kecil yang lahir daripada hati yang ikhlas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Yuneswaran dalam kenyataan sama berkata kisah Mohd Yusof dan Dicky membuktikan perpaduan tidak terhad kepada slogan, ucapan atau dasar semata-mata. 

Beliau berkata perpaduan sebaliknya dapat diterjemahkan melalui sikap saling membantu tanpa mengira latar belakang, kaum, agama atau status sosial.

Ad Banner

“Apa yang ditunjukkan oleh Mohd Yusof dan saudara Dicky adalah cerminan Malaysia yang kita cintai, sebuah negara yang dibina atas nilai hormat, belas ihsan dan kebersamaan,” katanya.

Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan Negara berharap kisah ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyemai budaya saling membantu, menghormati dan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

“Dalam semangat Malaysia MADANI, setiap perbuatan baik yang menyatukan masyarakat perlu diraikan, diiktiraf dan dijadikan teladan agar nilai perpaduan terus hidup dalam kehidupan seharian rakyat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan