Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KESUMA Bakal Lancar Inisiatif Sokongan Pekerja Susulan Krisis Tenaga Global

26/04/2026 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) --  Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal melancarkan siri inisiatif sokongan komprehensif bagi menangani impak krisis bekalan global terhadap pasaran buruh, sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata langkah proaktif itu diambil susulan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara yang menyaksikan 5,900 rakyat Malaysia diberhentikan kerja bulan lepas, dengan pekerja di Selangor dan Kuala Lumpur paling teruk terjejas.

Ramanan berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja menerusi intervensi yang lebih dinamik, termasuk penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global berpunca daripada tekanan geopolitik semasa.

Ad Banner

“Penambahbaikan ini dijangka memberi manfaat lebih menyeluruh kepada pekerja, meliputi perlindungan sosial dan akses lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).

“Usaha ini adalah langkah kritikal kementerian untuk mempercepat proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan lebih stabil, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Ramanan berkata KESUMA juga akan menganjurkan siri jelajah ke universiti di seluruh negara bagi mendekati bakal graduan, memahami cabaran mereka serta menyediakan dialog, bimbingan kerjaya dan padanan pekerjaan untuk memastikan bakat tempatan kekal relevan dan berdaya tahan dalam ekonomi mencabar. 

Ad Banner

Beliau ketika ditemui pada majlis itu berkata MYFutureJobs tahun ini menyasarkan untuk membantu lebih 200,000 pencari kerja memperoleh pekerjaan.

Menurut Ramanan, lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM16,000 disediakan pada Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan antara yang menawarkan peluang terbanyak.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata 10,000 lagi peluang pekerjaan akan ditawarkan sempena Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu pada 9 dan 10 Mei ini.

“Saya difahamkan lebih 52 syarikat bersetuju menyertai karnival kerjaya itu. Harapan kami supaya setiap langkah dan rancangan yang disusun rapi oleh kementerian dapat dilaksanakan di peringkat negeri. Paling penting semua pencari kerja mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan