Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

BSFL Berpotensi Kurangkan Kebergantungan Protein Import Bagi Industri Ternakan Ayam

26/04/2026 11:14 AM

Oleh Sakini Mohd Said & Ummu Khalidah Hamzah

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Industri ternakan ayam negara dilihat masih terlalu bergantung kepada sumber makanan import, sekali gus mendedahkannya kepada risiko ketidaktentuan pasaran global termasuk kenaikan harga dan gangguan bekalan.

Kebergantungan tinggi terhadap jagung bijirin dan kacang soya itu bukan sahaja menekan kos pengeluaran, malah menjadikan rantaian bekalan makanan negara lebih rapuh ketika berdepan krisis antarabangsa.

Ad Banner

Pakar pemakanan haiwan, Prof Dr Hasliza Abu Hassim, berkata Malaysia pada masa ini belum mempunyai pengeluaran jagung dan soya tempatan yang signifikan, menyebabkan industri berkenaan terus bergantung kepada import.

“Malaysia juga pada asasnya tidak mempunyai pengeluaran jagung dan kacang soya tempatan yang signifikan maka kebergantungan kepada bahan makananan import kekal tinggi. Implikasinya, kos pengeluaran ayam negara sangat sensitif kepada harga pasaran global

“Ini termasuk turun naik kadar pertukaran mata wang dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa. Disebabkan itu, setiap kali berlaku ketidaktentuan geopolitik atau kenaikan harga komoditi dunia, industri ayam tempatan akan menerima kesan secara langsung,” katanya kepada Bernama. 

Ad Banner

Hasliza yang juga Timbalan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan  (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata bagi tempoh 2025/2026, import jagung Malaysia diunjurkan mencecah sekitar 3.8 juta tan metrik, manakala penggunaan soya pula dianggarkan 1.69 juta tan metrik, dengan sektor ternakan ayam sebagai pengguna utama.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk meneroka sumber alternatif yang lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan ternakan import.

Antara yang dilihat berpotensi ialah penggunaan larva lalat askar hitam atau black soldier fly larvae (BSFL) sebagai sumber protein alternatif.

Kajian terdahulu menunjukkan BSFL boleh digunakan dalam diet ayam pedaging dan ayam kampung tanpa menjejaskan prestasi, malah menyokong pertumbuhan, status metabolik serta kesihatan ternakan.

“BSFL mengandungi protein tinggi antara 30 hingga 45 peratus dan berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada soya yang diimport,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan BSFL bukan pengganti sepenuhnya kepada jagung kerana jagung berfungsi sebagai sumber tenaga, manakala BSFL lebih kepada sumber protein dan lemak.

“Dalam kebanyakan kes, bahan alternatif seperti BSFL hanya sesuai sebagai penggantian separa dan memerlukan formulasi diet yang tepat serta pemprosesan tambahan bagi memastikan kualiti makanan ternakan,” katanya.

Selain BSFL, beberapa bahan lain seperti dedak isirung sawit, dedak padi dan beras hancur turut pernah digunakan, namun belum meluas berikutan kekangan dari segi kualiti, variasi nutrien dan kecernaan.

Mengulas lanjut, Hasliza berkata BSFL juga mempunyai kelebihan dari segi kitaran pengeluaran yang cepat, iaitu antara 10 hingga 21 hari bergantung kepada persekitaran penternakan.

“Larva ini boleh diternak menggunakan sisa makanan atau hampas pertanian, sekali gus menyokong amalan ekonomi kitaran dan konsep sifar sisa,” katanya.

Namun, beliau berkata pengembangan BSFL pada skala komersial memerlukan pengurusan teliti, termasuk aspek biosekuriti, kawalan suhu dan kelembapan serta pengendalian selepas tuaian.

Sementara itu bagi pemain industri, mereka mula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan kepada makanan import melalui pendekatan alternatif.

Nuralis Agro Sdn Bhd, misalnya, mengumpul lebihan makanan daripada kantin sekolah berasrama dan pasar untuk dijadikan makanan tambahan ternakan.

Penyelia ladangnya, Khairulhadzri Mohamad Zain, berkata pihaknya mampu mengumpul antara 20 hingga 30 kilogram sisa makanan setiap hari, termasuk nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih elok.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos, malah membantu mengurangkan pembaziran makanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sisa makanan itu tidak menggantikan sepenuhnya dedak komersial, terutama pada peringkat awal pembesaran kerana keperluan nutrisi yang lengkap.

“Selepas ayam berumur dua hingga tiga bulan, barulah ia diperkenalkan secara berperingkat sebagai diet tambahan,” katanya.

Pendekatan gabungan itu, katanya, membantu memastikan ternakan kekal sihat selain menghasilkan isi lebih padat, walaupun kadar tumbesaran sedikit lebih perlahan.

Dalam masa sama, pakar menegaskan pendekatan terbaik ketika ini bukan menggantikan sepenuhnya jagung dan soya, sebaliknya mengurangkan kebergantungan melalui gabungan sumber alternatif tempatan dan serantau.

Langkah itu dilihat penting bagi memastikan kelangsungan industri ayam negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan