Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hari Anzac: Penghormatan Kepada Tawanan Perang Dan Juga Penduduk Tempatan

25/04/2026 01:40 PM

SANDAKAN, 25 April (Bernama) -- Hari Anzac bukan sekadar penghormatan kepada tawanan perang yang menderita dan terkorban semasa Perang Dunia Kedua, tetapi juga kepada orang ramai termasuk penduduk tempatan Sabah. 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata ribuan tawanan perang Australia dan British melalui situasi kejam di kem tawanan di seluruh Asia Tenggara semasa perang itu termasuk di Sandakan.

“Kem di Sandakan dan Ranau menjadi simbol penderitaan yang berpunca daripada kekejaman, kebuluran, buruh paksa dan kawat maut yang meragut nyawa hampir semua tawanan. Namun dalam keadaan yang paling gelap sekalipun, nilai kemanusiaan tetap wujud.

Ad Banner

“Penduduk kampung mempertaruhkan nyawa untuk membantu tahanan. Mereka menawarkan tempat perlindungan dan penjagaan. Membantu tahanan ialah kesalahan serius yang boleh dihukum dengan pukulan atau kematian.

“Tetapi mereka bertindak (membantu) kerana ia tindakan yang betul untuk dilakukan,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee pada Upacara Subuh Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan hari ini. 

Mengimbas sejarah bersama-sama Australia, Britain dan Malaysia, Hajiji berkata ikatan antara rakyat negara terlibat bukan sahaja terjalin melalui konflik tetapi juga menerusi perasaan belas kasihan.

Ad Banner

“Kisah mereka yang menderita di Sandakan kekal tidak dapat dipisahkan daripada orang-orang yang membantu mereka bertahan, walaupun hanya untuk tempoh yang singkat,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan