Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkhidmatan Kereta Api Sabah Kekal Jadi Pilihan, Pengguna Gesa Sistem Bayaran Tanpa Tunai

26/04/2026 03:36 PM

KOTA KINABALU, 25 April (Bernama) -- Perkhidmatan kereta api di Sabah kekal menjadi pilihan dan masih relevan sebagai pengangkutan harian, terutama bagi mereka yang mencari alternatif yang lebih menjimatkan.

Bagaimanapun, sistem pembayaran tiket sedia ada dilihat perlu dimodenkan dengan pelaksanaan kaedah tanpa tunai, sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini agar lebih pantas serta efisien.

Pelajar universiti swasta Nurinsyirah Mazlan, 19, berkata beliau menggunakan perkhidmatan kereta api setiap hari dari Putatan ke kampusnya yang terletak di Kota Kinabalu.

Ad Banner

Nurinsyirah berkata kereta api menjadi pilihan kerana tambang pengangkutan awam itu jauh lebih murah berbanding perkhidmatan e-hailing, selain berbaloi untuk tempoh perjalanan singkat.

“Kalau dari Putatan (ke Kota Kinabalu), tambang hanya sekitar 40 sen. Untuk pelajar, harga ini sangat murah. Namun, saya mencadangkan agar sistem pembayaran tanpa tunai seperti kod QR diperkenalkan atau kad khusus untuk pelajar,” katanya kepada Bernama.

Nurinsyirah berkata rata-rata masyarakat, termasuk golongan pelajar sekarang tidak lagi membawa wang tunai dan pembayaran tambang menjadi lebih mudah apabila dilakukan menggunakan kod QR atau kad.

Ad Banner

“Jadi, lebih senang dan tidak perlu lagi mencari duit syiling,” katanya.

Amirah Zakiah Zamlly, 19, juga dari Putatan pula berkata beliau menggunakan kereta api hampir setiap hari untuk ke kolej di Kota Kinabalu memandangkan stesen pengangkutan awam itu berdekatan dengan tempat tinggalnya.

Beliau berkata walaupun tambang amat berpatutan, namun sistem pembayaran sedia ada dilihat kurang praktikal.

“Sekarang masih perlu beratur dan bayar secara tunai. Kalau ada sistem kod QR atau kad, ia akan jadi lebih cepat dan mudah. Lebih-lebih lagi zaman sekarang sudah moden. Jadi, perlu ada penambahbaikan,” katanya.

Pelajar itu turut berpendapat pelaksanaan pas bulanan perkhidmatan kereta api boleh membantu pengguna mengurus belanjawan kos pengangkutan awam dengan lebih teratur.

Amirah Zakiah juga berharap perkhidmatan kereta api di Sabah terus dipertingkatkan, termasuk menambah baik sistem penyaman udara dalam gerabak bagi keselesaan pengguna.

Beliau berkata langkah itu juga berpotensi menarik lebih banyak orang untuk menggunakan perkhidmatan kereta api pada masa akan datang.

“Contohnya, sekiranya setiap ruang dalam gerabak dilengkapi dengan sistem penyaman udara, lebih banyak orang akan berminat untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.

“Berdasarkan pengalaman saya, tambang kereta api dari Putatan ke Aeropod (Tanjung Aru) hanya 40 sen. Walaupun harga dinaikkan sedikit (selepas ini), saya rasa ia masih berpatutan kerana sudah dikira sangat murah. Yang penting, perkhidmatannya sangat selesa,” katanya.

Sementara itu, Muhd Izz Zuhairi Mohd Yusrie, 23, dari Papar berkata penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai adalah selari dengan arus pemodenan kerana kebanyakan pengguna kini lebih selesa menggunakan kaedah pembayaran digital.

Beliau turut mencadangkan agar jabatan berkaitan membangunkan sistem pembelian tiket kereta api secara dalam talian, sama ada menerusi aplikasi atau laman sesawang bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan tanpa perlu beratur di kaunter.

“Pengguna boleh beli tiket lebih awal dan hanya tunjukkan bukti pembelian. Lagipun, rata-rata kita ada telefon. Jadi, boleh muat turun aplikasi dan daftar ataupun bayar tiket menerusi laman sesawang,” katanya.

Beliau juga berharap perkhidmatan kereta api di Sabah dikekalkan dan capaian pengangkutan awam itu diperluaskan bagi menjangkau lebih banyak penumpang di daerah berdekatan pada masa hadapan.

Pada 8 April, Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick memaklumkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang melaksanakan dua kajian berkaitan perkhidmatan kereta api negeri, antaranya semakan kadar tambang perkhidmatan kereta api.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata kajian itu turut melibatkan kajian kebolehlaksanaan laluan baharu dari Putatan ke Kota Kinabalu, seterusnya ke Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu hingga ke Pelabuhan Sepanggar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan