PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menurunkan 746 kandungan dan iklan palsu dalam talian setakat ini, dengan kebanyakan melibatkan penjualan minyak masak dan pakaian.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata kandungan berunsur penipuan itu dikesan di beberapa platform termasuk Facebook dan TikTok, dijual melalui akaun peribadi bagi menarik perhatian pengguna.
“Modus operandi sindiket berubah mengikut trend dan musim, termasuk menawarkan harga terlalu murah atau bekalan dalam kuantiti besar tetapi gagal menghantar barangan kepada pembeli.
“Kalau melibatkan penipuan mengiklankan tetapi tidak menghantar barang, ia selalu melibatkan pakaian. Mereka melihat kecenderungan pengguna contohnya menjelang musim perayaan,” katanya pada sidang media sempena pencapaian penguatkuasaan Ops Tiris 2025 sehingga Mac 2026 di sini hari ini.
Azman berkata sindiket didapati akan membuka akaun baharu selepas kandungan atau platform mereka disekat, selain terdapat kes berjaya dikesan sehingga ke lokasi operasi dan stor simpanan barangan tiruan.
Selain itu, Azman berkata lebih 10 syarikat besar yang menawarkan barangan keperluan pengguna dan makanan telah dipanggil memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Langkah itu, menurut beliau diambil bagi memastikan harga barangan kekal pada tahap munasabah dan bertujuan mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan daripada kekurangan bekalan untuk meraih keuntungan berlebihan.
Beliau berkata nama syarikat terlibat tidak dapat didedahkan kerana proses siasatan masih pada peringkat awal dan hanya notis awal dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Apabila terdapat syak berlaku pencatutan, kita akan membuka kertas siasatan dan pada peringkat itu, maklumat boleh didedahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata tahap pematuhan peniaga terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) adalah tinggi, iaitu sekitar 95 peratus dengan kebanyakan kesalahan melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu.
Beliau berkata bagi mengukuhkan pematuhan kendiri dalam kalangan komuniti perniagaan, KPDN turut memperluas pelaksanaan Program PATUH yang menekankan penandaan harga jelas, penggunaan alat timbang dan sukat tepat, transaksi telus serta urus niaga jujur.
Setakat ini, Azman berkata sebanyak 75 pasar awam telah dilibatkan dalam program itu dengan sasaran untuk memperluas pelaksanaannya ke pasar raya dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) secara berperingkat.
Selain itu, beliau berkata tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) turut diperkukuh bagi mengekang kegiatan penyelewengan berskala besar.
Beliau berkata KPDN telah membekukan aset berjumlah RM9.92 juta dan menyita aset bernilai RM5.14 juta.
Kutipan melalui Ops HASIL menyumbang sebanyak RM23.3 juta kepada kerajaan pada 2025 manakala tindakan kompaun dan denda mahkamah pula secara kolektifnya melebihi RM21 juta.
Azman berkata setakat ini sebanyak RM77.06 juta telah berjaya dipulangkan kepada kerajaan melalui pelucuthakan aset, kutipan denda dan kompaun hasil siasatan kes berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial