SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026 yang dijadualkan Jun ini mengekalkan had usia penyertaan sehingga 35 tahun meskipun pindaan had usia belia kepada 30 tahun berkuat kuasa pada peringkat nasional awal tahun ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San berkata keputusan itu bagi memastikan inklusiviti dan strategi pemerkasaan kepimpinan pada peringkat negeri sekali gus memberi ruang golongan profesional muda menyumbang perspektif lebih matang serta teknikal dalam sesi perbahasan simulasi.
“Penganjuran ADN Muda Selangor 2026 mengekalkan had usia 35 tahun untuk memberi peluang kepada profesional muda dalam fasa awal kerjaya memberikan input penggubalan polisi yang lebih substantif.
“Keputusan ini juga bertujuan memastikan kualiti perbahasan berada pada tahap tertinggi dengan penglibatan peserta yang mempunyai latar belakang pengalaman lebih luas dalam pelbagai bidang,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Lau berkata edisi tahun ini turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan format termasuk kaedah pemilihan kawasan peserta melalui cabutan undi bagi memastikan perbincangan lebih terarah kepada dasar strategik peringkat negeri berbanding hanya isu lokaliti.
“Hasrat utama program ini ialah sebagai platform tahunan untuk mendidik dan mendedahkan golongan belia kepada sistem demokrasi diamalkan di Malaysia, khususnya di Selangor.
“Ia memberi peluang kepada peserta menimba pengalaman membahaskan usul seperti Ahli Dewan Negeri sebenar di dalam Bangunan Dewan Negeri Selangor dan memahami proses penggubalan undang-undang,” katanya.
Program anjuran Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Selangor (MBS) serta Persatuan Pendemokrasian Sosial (SocDem Malaysia) itu berlangsung pada 22 dan 23 Jun.
Penyertaan boleh dibuat secara dalam talian dari hari ini hingga 25 Mei dengan keutamaan diberikan kepada pengundi di 56 kawasan DUN berdasarkan kualiti cadangan usul serta kefahaman terhadap sistem pentadbiran kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial