Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Naik Taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru Dijangka Siap Jun 2027 - Ahmad

24/04/2026 03:07 PM

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Projek menaik taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru membabitkan kos lebih RM57 juta dijangka siap sepenuhnya pada 5 Jun tahun depan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata projek yang bermula 25 Julai 2022 itu, kini mencatatkan kemajuan sebanyak 38 peratus.

"Setelah siap, kita jangkakan dalam tempoh sebulan dua selepas itu ia akan beroperasi," katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek berkenaan di sini hari ini. 

Ad Banner

Beliau berkata kemudahan baharu di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu merupakan antara fasiliti penjagaan warga emas yang moden dan serba lengkap, dengan penawaran pelbagai prasarana canggih demi memastikan keselesaan penghuni.

Antara kemudahan itu ialah blok pentadbiran, kuaters kelas D, E dan G, asrama kluster lelaki dan perempuan, dewan serba guna, blok pengurusan jenazah dan dobi serta surau.

Beliau berkata projek berkenaan dilaksanakan bagi menggantikan rumah jagaan dan perlindungan sedia ada yang telah uzur, dengan selepas dinaik taraf berupaya menempatkan 260 penghuni warga emas secara keseluruhannya.

Ad Banner

Sementara itu, Ahmad berkata lawatan berkenaan bertujuan menilai statsu kemajuan fizikal projek, memantau aspek kualiti pembinaan serta memastikan pematuhan terhadap spesifikasi teknikal dan standard keselamatan ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut Ahmad, beliau berpuas hati dengan kemajuan projek sekali gus menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas kepercayaan diberikan kepada Kementerian Kerja Raya untuk melaksanakannya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan