KUALA TERENGGANU, 24 April (Bernama) -- Semua sekolah di Terengganu diarah menangguhkan sebarang aktiviti luar susulan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Kamsah@Kamal Mohamed berkata pemakluman mengenai perkara itu telah diedarkan kepada kesemua sekolah di negeri ini dan berkuat kuasa bermula 20 April lepas.
"Semua program luar dibatalkan termasuk aktiviti air namun aktiviti dalam bangunan dibenarkan. Jika terdapat sebarang aktiviti seperti program 1 Murid 1 Sukan, unit beruniform, kelab dan persatuan, sukan serta permainan, semuanya ditangguhkan.
"Keputusan ini dibuat bagi meredakan situasi semasa dan menjaga keselamatan. Ini kerana keselamatan murid-murid adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
"Jadi bermula 20 April lepas, JPNT menguatkuasakan penangguhan semua aktiviti luar. Begitu juga perhimpunan dan sebagainya, hanya dibenarkan pada awal pagi. Sekiranya ada program lain pada waktu petang, ia perlu ditangguhkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan JPNT sentiasa memberi perhatian terhadap kejadian kebakaran dan jerebu khususnya di daerah Kuala Nerus yang ketika ini masih terkawal.
"Saya telah menghubungi Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat berhubung situasi semasa.
“Poster berkaitan langkah pencegahan telah diterima dan kami segera edarkan kepada semua sekolah untuk tindakan lanjut. Namun buat masa ini belum ada keperluan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana Jabatan Alam Sekitar dan PKD memaklumkan keadaan masih terkawal,” katanya.
Beliau berkata pihak sekolah sentiasa diingatkan agar peka terhadap situasi kebakaran dan kesan jerebu tersebut, khususnya melibatkan pelajar di asrama.
“Kita menasihatkan supaya tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang simptom seperti sesak nafas dengan merujuk pelajar ke hospital serta mendapatkan nasihat daripada PKD.
“Sebarang arahan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial