Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kesedaran Masyarakat Semakin Tinggi, Pendaftaran Kad Autisme Meningkat - Dzulkefly

23/04/2026 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Jumlah pendaftaran kad Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme meningkat kepada hampir 89,000 orang pada tahun ini, berbanding sekitar 23,000 orang pada 2021, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata peningkatan hampir empat kali ganda itu menunjukkan tahap kesedaran rakyat kini semakin tinggi dengan ibu bapa lebih peka, pengesanan awal lebih berkesan dan masyarakat semakin terbuka untuk mendapatkan diagnosis.

“Perkara paling penting untuk masyarakat faham adalah autisme bukanlah satu penyakit. Ia merupakan satu spektrum perkembangan neurologi.

Ad Banner

“Apabila kita faham perkara ini, barulah kita dapat membuang stigma. Hakikatnya, golongan ini mempunyai bakat neurodiversiti yang unik dan mampu cemerlang dalam pelbagai bidang seperti sains, seni, dan teknologi,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena Sambutan Bulan Kesedaran Autisme.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Kertas Putih Kesihatan membawa pendekatan sepanjang hayat dengan memastikan ada kesinambungan dalam bentuk intervensi awal, rawatan susulan yang baik, hingga sokongan untuk golongan berkenaan membina kerjaya.

Beliau berkata KKM serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan terus memperkasa Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

Ad Banner

“Pada masa sama, kita menyeru perluasan akses pendidikan tinggi serta menggalakkan para majikan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang adil dan inklusif buat mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan