GOPENG, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bersetuju membangunkan kampus cawangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang akan dibina di Segari, Lumut.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata cadangan pembangunan kampus cawangan universiti itu, telah dikemukakan Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Beliau berkata delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diketuai Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, minggu lepas.
“Pembangunan kampus cawangan ini akan melengkapkan dua pembangunan bandar pertahanan sedia ada di negara ini iaitu di Kuantan, Pahang bagi komponen pertahanan udara dan di Klang, Selangor bagi pertahanan darat.
“Dengan pembukaan cawangan UPNM di Perak, ia akan menjadi pelengkap kepada komponen pertahanan laut (Lumut merupakan pangkalan utama pertahanan perairan negara),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Pembangunan Gopeng Avante, di sini hari ini.
Saarani berkata pembangunan kampus cawangan itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan, susulan persetujuan kerajaan negeri terhadap projek berkenaan.
“Ia sebuah kampus lengkap, apatah lagi Lumut menempatkan kem Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Dengan kewujudan bandar pertahanan serta Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), saya yakin kampus UPNM ini akan muncul sebagai antara institusi pengajian tinggi yang cemerlang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara pihak yang akan dilibatkan dalam Jawatankuasa Krisis Negeri Perak, bagi menangani krisis bekalan global terhadap ekonomi rakyat di negeri ini.
Beliau berkata penglibatan pihak berkenaan ditentukan mengikut keperluan dan disesuaikan dengan agenda serta isu yang dibincangkan dalam setiap mesyuarat.
Saarani berkata Jawatankuasa Khas Impak Krisis Negeri Perak yang diwujudkan itu, akan dipengerusikan beliau sendiri manakala Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis Negeri Perak pula dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
“Bagi jawatankuasa yang dipengerusikan saya, ia akan menumpukan kepada perbincangan berkaitan kesan konflik dan krisis global terhadap ekonomi negeri dan rakyat secara keseluruhan.
“Jawatankuasa dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pula akan melibatkan jabatan dan agensi pelaksana di bawahnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial