Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

DSA 2026: TUDM Manfaatkan Teknologi VR, Kurangkan Risiko Kerosakan Aset

23/04/2026 04:02 PM

 

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Penggunaan teknologi Realiti Maya (VR) dalam latihan penyelenggaraan pesawat tempur oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini menjadi penanda aras baharu dalam usaha meminimumkan risiko kerosakan aset strategik bernilai jutaan ringgit.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif HeiTech Defence System Sdn Bhd (HeiTech Defence) Rasyad Anwar berkata inovasi yang dikenali sebagai Simulator Integrated Maintenance Aircraft System (SIMAS) itu dibangunkan khusus bagi memastikan anggota teknikal TUDM dapat menjalani latihan praktikal tanpa melibatkan pesawat sebenar.

"Melalui SIMAS, kami menyediakan 70 modul latihan teknikal VR, merangkumi tugasan kritikal seperti penyelenggaraan enjin dan penukaran tayar pesawat Sukhoi (Su-30MKM). Kesilapan kecil berlaku semasa latihan penyelenggaran pada pesawat sebenar boleh mengakibatkan kerosakan teknikal yang menelan belanja besar.

"Teknologi ini membolehkan anggota teknikal berlatih dalam persekitaran digital yang selamat, sekali gus menghapuskan ralat manusia yang boleh menjejaskan integriti aset pejuang negara," katanya pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NatSec) Asia 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Selain aspek penyelenggaraan, Rasyad berkata pihaknya turut menyediakan sebuah pusat simulasi bagi kegunaan latihan operasi jet pejuang Su-30MKM berpusat di Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak, Terengganu yang juga satu-satunya simulasi latihan seumpamanya di rantau Asia.

Pusat simulasi itu menempatkan dua set sistem yang berupaya menjalankan misi latihan secara dalam talian seperti mana dalam persekitaran dan situasi penerbangan sebenar.

Rasyad berkata sistem simulasi itu adalah sebahagian daripada ekosistem latihan digital syarikat yang turut merangkumi War Simulation Game

“Sistem berkenaan berupaya menganalisis profil kelajuan, keupayaan radar dan sistem persenjataan melalui integrasi data topografi daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),” katanya.

Menurut Rasyad, HeiTech Defence telah berjaya melaksanakan kejuruteraan berbalik bagi komponen fizikal simulator pesawat Sukhoi seperti unit kokpit dan joystick supaya ia sepadan sepenuhnya dengan nisbah (1:1) seperti fungsi pesawat asal. 

"Kejayaan mengekalkan rekod 100 peratus kesediaan simulator tanpa tempoh henti bagi Skuadron Sukhoi sejak 2010 membuktikan kepakaran tempatan mampu menyelenggara sistem simulasi aset canggih ini pada tahap optimum," katanya.

Beliau berkata pencapaian itu turut menarik minat luar negara, dengan HeiTech Defence kini sedang dalam proses memberikan khidmat nasihat kepada Brunei serta meninjau kerjasama strategik di Indonesia bagi memperluas teknologi latihan simulasi Malaysia ke peringkat serantau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan