Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JKPB Perkukuh Suara Belia Ke Peringkat Tertinggi

23/04/2026 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) dilihat sebagai mekanisme lebih berkesan dalam mengangkat suara golongan muda terus ke peringkat tertinggi dalam proses penggubalan dasar negara.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata jawatankuasa berkenaan bukan sahaja mengiktiraf peranan belia, malah membuka ruang kepada kerajaan mendapatkan pandangan serta dapatan terus daripada golongan berkenaan.

Beliau berkata platform sedia ada seperti Majlis Perundingan Belia Negara turut memainkan peranan penting sebagai medan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh, termasuk pertubuhan belia dan wakil negeri, bagi membincangkan serta mengangkat cadangan anak muda.

Ad Banner

“Segala usul dan kertas cadangan yang dibentangkan oleh belia boleh diangkat ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memberi ruang kepada suara akar umbi dipertimbangkan dalam dasar kerajaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Penyertaan Belia: Tiga Fokus, Apa Gamaknya?” malam ini.

Program itu turut mengundang Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Islam, Bahasa dan Umum, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Dr Mohd Fauzi Fadzil.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Mesyuarat JKPB meluluskan tiga kertas pertimbangan yang memberi fokus kepada penyertaan belia dalam demokrasi dan literasi politik, pemerkasaan belia sebagai ejen perubahan serta pengukuhan data.

Ad Banner

Antaranya termasuk pelaksanaan Program Kuasa Orang Muda (KOM), Program Generasi Sejahtera Malaysia (MyGENTERA) serta pembangunan profil belia Tidak dalam Pekerjaan, Pendidikan atau Latihan (NEET) bagi memperkukuh ekosistem pembangunan belia negara.

Mengulas Program Kuasa Orang Muda (KOM), Ahmad Fahmi berkata usaha meningkatkan literasi politik tidak seharusnya terhad kepada musim pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi melahirkan generasi celik politik dan peka terhadap isu semasa.

Beliau berkata pendidikan demokrasi perlu bermula sejak peringkat awal termasuk di sekolah, bagi membentuk kefahaman tentang proses membuat keputusan serta tanggungjawab sebagai warganegara.

“Literasi politik bukan sekadar memahami pilihan raya, tetapi merangkumi pembentukan nilai seperti keprihatinan, budaya ilmu dan kesedaran terhadap kesan sesuatu keputusan,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata penglibatan belia masa kini turut dipengaruhi persekitaran digital yang menyaksikan mereka lebih terhubung secara dalam talian tetapi kurang penglibatan fizikal.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan lebih banyak ruang interaksi secara langsung diwujudkan, termasuk melalui makmal perbincangan isu negara yang membolehkan belia menyumbang idea secara lebih aktif.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata pendekatan melalui jawatankuasa di peringkat Kabinet dan Parlimen mampu mengurangkan lapisan birokrasi yang sebelum ini menyukarkan suara belia sampai kepada pembuat dasar.

Beliau berkata penglibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam platform berkenaan turut menyumbang kepada pendekatan yang lebih inklusif dan tidak berpihak.

“Apabila dipengerusikan di peringkat tertinggi, termasuk Timbalan Perdana Menteri, ia membolehkan isu dibawa terus kepada kementerian berkaitan tanpa melalui terlalu banyak lapisan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata pendidikan politik perlu membezakan antara mengajar tentang politik dan mengajar untuk berpolitik, dengan penekanan kepada aspek demokrasi, kenegaraan dan Perlembagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan