PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Seramai 155,000 penjawat awam telah mendaftar untuk bekerja dari rumah (BDR) dengan penjimatan dianggarkan berjumlah 334,000 liter minyak bernilai RM678,000 sejak 15 April hingga semalam.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Pada hari ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai status pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi penjawat awam,” katanya pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini.
Fahmi berkata pelaksanaan dasar itu merupakan antara langkah kerajaan dalam mengurus impak krisis bekalan global, selain mengoptimumkan penggunaan sumber secara lebih cekap.
Beliau turut memaklumkan bahawa KSN telah diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sektor swasta berhubung pelaksanaan BDR bagi menilai jumlah keseluruhan penjimatan yang boleh dicapai di peringkat nasional.
“Langkah ini penting bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai keberkesanan inisiatif bekerja dari rumah dalam mengurangkan penggunaan bahan api serta kos operasi,” katanya.
Fahmi berkata kerajaan akan terus meneliti dan memperkukuh pendekatan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan pengurusan sumber negara lebih mampan dalam tempoh ketidaktentuan global.
Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam bermula pada 15 April sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial