Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

"The Ghost" Dron Pemintas Buatan Tempatan Perkukuh Pertahanan Negara

22/04/2026 03:02 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Mampu memecut hingga 300 kilometer sejam (km/j) bagi melumpuhkan ancaman di angkasa, dron pemintas berkelajuan tinggi “The Ghost” kini muncul sebagai perisai strategik negara yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tenaga tempatan.

Pembangunan dron itu oleh syarikat teknologi tempatan, Shah Maju Group (SMG) Aviation, dilihat sebagai langkah memperkukuh sistem pertahanan negara terhadap ancaman hibrid selain melengkapkan ekosistem pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan lain dalam mendepani pencerobohan ruang udara.

Ad Banner

Pengarah SMG Aviation Sharifah Anissa Syed Shabahar berkata The Ghost direka khusus untuk memintas dan melumpuhkan dron musuh dengan kepantasan luar biasa.

"Dron ini mempunyai berat kira-kira 650 gram dan mampu memecut hingga 300 km/j, menjadikannya antara dron pemintas terpantas dalam kategorinya bagi buatan tempatan," katanya kepada Bernama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.

Dron yang dibangunkan di makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Wangsa Maju itu mempamerkan keupayaan operasi kompetitif dengan jarak sejauh 10 hingga 15 kilometer (km) serta mampu beroperasi pada ketinggian maksimum hingga 5 km dari paras laut.

Ad Banner

Dari segi ketahanan, dron berkenaan dilengkapi dengan bateri yang menyokong waktu penerbangan selama 15 minit, selain berupaya membawa muatan (payload) hingga 350 gram.

Selain itu, reka bentuknya yang mempunyai jarak roda (wheelbase) 230 milimeter (mm) memastikan ia kekal kompak, namun tetap aerodinamik untuk tugasan pemintasan di udara.

Berkongsi lebih lanjut, Sharifah Anissa berkata kebergantungan kepada aset pertahanan luar negara mempunyai risiko tersendiri, terutamanya dari aspek sabotaj sistem atau sekatan teknologi semasa konflik.

"Sistem 'otak' sehingga badan dron ini dihasilkan 100 peratus secara lokal oleh lima jurutera muda kita. Jika kita memiliki aset sendiri, kita mempunyai kawalan penuh terhadap keselamatan sistem tersebut tanpa bimbang akan campur tangan pihak luar atau risiko jamming oleh negara pengeluar," katanya.

Setakat ini, The Ghost telah membuktikan keberkesanannya melalui siri ujian penerbangan dan simulasi memintas dron sasaran. 

Projek yang menelan kos R&D melebihi RM1 juta itu bakal melalui fasa ujian kedua tidak lama lagi bersama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bagi memastikan ia memenuhi piawaian ketat sebelum dicadangkan secara rasmi kepada Kementerian Pertahanan.

SMG Aviation sebelum ini telah membekalkan pelbagai kelengkapan taktikal kepada agensi kerajaan dan kini komited untuk memacu Malaysia sebagai antara pengeluar teknologi dron tempur yang kompetitif di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan