KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kesan krisis bekalan global sudah mula meresap ke dalam kos pengangkutan, logistik, harga barang serta perbelanjaan harian rakyat dan negara kini sedang berhadapan dengan fasa penyesuaian kos yang semakin nyata.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata berdasarkan pemantauan harga bahan makanan terpilih bagi tempoh 13 hingga 19 April menunjukkan pergerakan harga yang bercampur.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan tekanan bekalan tidak berlaku secara seragam, tetapi berbeza mengikut kategori dan dipengaruhi oleh faktor cuaca, kos input pertanian, kos pengangkutan dan turun naik bekalan jangka pendek.
“Harga purata ayam standard meningkat 2.8 peratus daripada RM9.09 sekilogram kepada RM9.33 sekilogram, sementara harga daging lembu menurun 5.0 peratus kepada RM35.65 sekilogram, manakala telur ayam Gred C kekal stabil pada purata RM3.66 bagi 10 biji.
“Bagi kategori ikan dan sayur-sayuran pula, harga ikan kembung menurun kepada RM16.43 sekilogram daripada RM17.08, manakala purata harga sawi meningkat daripada RM5.89 kepada RM6.21 sekilogram dan harga bayam hijau kekal stabil pada RM5.26 sekilogram,” katanya dalam taklimat khas berkaitan krisis bekalan global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, hari ini.
Beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut merekodkan kenaikan purata harga diesel di Semenanjung kepada RM4.09 seliter berbanding RM2.98 pada Februari, manakala RON97 meningkat kepada RM4.01 berbanding RM3.11.
Sehubungan itu, katanya tindak balas kerajaan perlu cepat dan tepat berasaskan data semasa dalam berdepan kesan krisis berkenaan terhadap kehidupan rakyat.
Berhubung pasaran buruh pula, Akmal Nasrullah berkata trend kehilangan pekerjaan buat masa ini belum menunjukkan tekanan berskala besar, namun masih memerlukan pemantauan rapi.
“Pengalaman lalu menunjukkan impak kejutan kos tenaga kepada pekerjaan lazimnya muncul dengan sedikit jarak waktu.
“Berdasarkan data permohonan faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 4,708 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan bagi tempoh 16 hari pertama April 2026,” katanya.
Akmal Nasrullah menjelaskan suku kedua 2026 akan menjadi tempoh penting untuk menilai sama ada tekanan kos yang dihadapi syarikat mula diterjemahkan kepada langkah pengurangan operasi atau pekerjaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial