JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjalin kerjasama strategik untuk memperkasa modal insan serta memacu penyelidikan teknologi kenderaan elektrik (xEV), dalam berdepan cabaran mobiliti hijau negara.
UTM dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) hari ini antara Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Menurut kenyataan itu kerjasama tersebut adalah bagi pelaksanaan program kejuruteraan xEV Perodua-UTM yang menjadi pemangkin kepada fasa baharu dalam pembangunan industri automotif negara.
“Sebanyak 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) akan dipilih setiap tahun untuk menyertai program berkenaan sepanjang tempoh lima tahun.
"Pelajar terpilih akan mengikuti program ini selama satu setengah tahun bermula semester kedua di tahun tiga pengajian dan akan menjalani latihan industri di Perodua selama 10 minggu, sekali gus berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa 'Institute of the Motor Industry' (IMI) Tahap 3,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Projek Sarjana Muda (FYP) mereka akan diselia bersama oleh jurutera Perodua bagi memastikan hasil kajian memenuhi piawaian industri.
“Menerusi kerjasama ini, UTM memperkukuh hubungan strategik bersama industri bagi memastikan pembangunan bakat dan inovasi negara sentiasa seiring keperluan semasa, sekali gus menyumbang kepada agenda kelestarian serta kemajuan sektor automotif negara," menurut UTM.
Sementara itu, Mohd Shafry dalam kenyataan sama menyifatkan kerjasama itu sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.
Beliau berkata penubuhan makmal kejuruteraan xEV PERODUA-UTM yang dilengkapi peralatan canggih akan meningkatkan lagi daya saing graduan universiti itu.
"Integrasi kursus elektif kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum dan akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) pula akan menjadikan graduan kami sentiasa relevan dan 'future-ready' (bersedia bagi perubahan masa depan)," katanya.
Zainal Abidin pula berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mapan serta kompetitif di peringkat global.
"Kerjasama tersebut bukan sekadar pemindahan teknologi, malah pelaburan jangka panjang dalam usaha melahirkan jurutera berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
"Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden," katanya.
Menerusi kerjasama itu Perodua turut menyumbangkan peralatan teknikal dan dua unit kenderaan QV-E bagi tujuan pembelajaran praktikal di makmal kejuruteraan xEV PERODUA-UTM, sebagai sokongan kepada program tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial