Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Gempa Di Kundasang: Tiada Kerosakan Dilaporkan, Keadaan Terkawal - Bomba

21/04/2026 04:06 PM

KOTA KINABALU, 21 April (Bernama) – Tiada kerosakan struktur atau kecederaan dilaporkan susulan kejadian gempa bumi lemah di Kundasang, Ranau pada 3.02 pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan operasi pemantauan dilaksanakan bermula 6.35 pagi tadi, melibatkan pemeriksaan di premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam di sekitar Pekan Ranau.

“Hasil makluman orang awam serta pemerhatian penjaga bangunan mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan setakat ini dan keadaan adalah terkawal serta selamat. Tiada laporan kecederaan atau insiden susulan diterima,” menurut kenyataan JBPM Sabah.

Ad Banner

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan, manakala orang awam dinasihatkan supaya kekal tenang serta berwaspada selain mengelakkan memasuki bangunan yang diragui strukturnya.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa dan sentiasa mengikuti arahan rasmi daripada agensi keselamatan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Terdahulu, Jabatan Meterologi Malaysia menerusi laman web rasmi memaklumkan gempa bumi itu berpusat pada koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur, kira-kira lapan kilometer barat laut dari Ranau.

Ad Banner

Gempa bumi dengan magnitud 3.4 berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan gegaran mungkin dirasai di sekitar kawasan Ranau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan