Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MPO Persembahkan 'Star Wars: A New Hope In Concert' Mei Ini

20/04/2026 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) akan mempersembahkan Star Wars: A New Hope in Concert, menampilkan tayangan penuh filem ikonik itu diiringi persembahan langsung skor asal yang memenangi anugerah, ciptaan John Williams.

Dalam kenyataan hari ini, MPO memaklumkan konsert itu akan dipimpin oleh konduktor Gerard Salonga dan dijadualkan berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 3 petang, 3 Mei dan 8 malam, 4 Mei.

Tiket berharga RM399, RM449, RM499 dan RM549 serta boleh didapati menerusi mpo.com.my atau talian 03-23317007.

Ad Banner

MPO memaklumkan sejak ditayangkan lebih 45 tahun lepas, filem Star Wars memberikan impak besar kepada dunia perfileman dan budaya, memberikan inspirasi kepada penonton di seluruh dunia melalui penceritaan mitosnya, watak-watak menarik, kesan khas yang inovatif dan skor muzik ikonik hasil gubahan Williams.

"Peminat akan merasai skala dan kehebatan filem yang digemari ini menerusi pengalaman konsert simfoni secara langsung," menurut kenyataan itu.

MPO memaklumkan komposer legenda itu terkenal kerana menggubah kesemua sembilan filem dalam saga Star Wars, bermula dengan Star Wars pada 1977, yang melayakkan beliau memenangi Anugerah Akademi bagi Skor Asal Terbaik.

Ad Banner

"Skor beliau bagi filem-filem Star Wars seterusnya – The Empire Strikes Back, Return of the Jedi, The Force Awakens, The Last Jedi dan The Rise of Skywalker – masing-masing turut dicalonkan untuk Anugerah Oscar bagi Skor Asal Terbaik," menurut kenyataan itu.

Filem berkenaan, menurut MPO, mengisahkan Luke Skywalker yang memulakan perjalanan transformasi selepas bertemu Obi-Wan Kenobi di planet padang pasir Tatooine, sebelum menyertai Rebel Alliance dalam misi berani untuk menyelamatkan Puteri Leia daripada cengkaman Darth Vader dan Galactic Empire.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan