Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerja Awalan Santuari Gajah Perak Sedang Dilaksanakan - Exco

20/04/2026 06:18 PM

IPOH, 20 April (Bernama) -- Pembinaan santuari gajah Perak (PES) kini berada pada fasa pertama iaitu kerja awalan dengan kos RM500,000, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata kerja di tapak seluas 79.74 hektar itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui lantikan perunding, dengan kerja awalan seperti ukur tanah, pemetaan utiliti dan kerja penyiasatan tanah telah dimulakan. 

“Kerajaan akan terus komited memastikan projek ini dilaksanakan secara berfasa, terancang dan sistematik dengan mengambil kira segala keperluan teknikal, pematuhan kepada spesifikasi serta piawaian yang ditetapkan di samping meneliti aspek keberkesanan kos dan tempoh pelaksanaan,” katanya.

Ad Banner

Teh berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu telah mendapat kelulusan dan dana pembinaannya daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan fasa pertama memfokuskan pembinaan asas melibatkan pembinaan kompleks pejabat, kurungan gajah serta berek petugas yang dijangka siap akhir 2030, melibatkan kos keseluruhan RM52,137,773.34.

Sementara itu, fasa kedua akan melibatkan pembinaan fasiliti ekopelancongan.

Ad Banner

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Perak melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), telah mewartakan seluas 79.74 hektar tanah di kawasan itu bagi tujuan pembangunan projek PES. 

Tapak pembinaan santuari itu di Batu 11, Lebuhraya Timur-Barat, Mukim Temenggor dalam Daerah Hulu Perak kerana kedudukan yang strategik berhampiran habitat semula jadi gajah liar, sekali gus sesuai dijadikan pusat konservasi dan pemuliharaan spesies tersebut.

Sebagai bukti komitmen terhadap usaha pemeliharaan hidupan liar serta pembangunan ekopelancongan berasaskan konservasi yang mampan, kerajaan negeri turut melaksanakan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Negeri Perak (PTCAP) yang berteraskan kelestarian, keseimbangan dan tanggungjawab bersama-sama.

Teh berkata PTCAP bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi pernyataan dasar yang jelas dan tegas bahawa Kerajaan Negeri Perak komited untuk memelihara khazanah biodiversiti negeri, khususnya Harimau Malaya sebagai spesies ikonik negara.

“Kita harus mengakui kita kini berada pada satu titik yang amat kritikal. Antara cabaran utama dikenal pasti termasuk tekanan terhadap habitat akibat ketidakseimbangan ekologi yang menjejaskan sumber makanan harimau, kekangan dalam aspek penguatkuasaan serta keperluan kepada pembiayaan lebih mampan dan penyelarasan antara agensi yang lebih berkesan.

“Pelan ini tidak sekadar mengenal pasti masalah, tetapi meliputi pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu bagi menangani isu tersebut.

“Pemuliharaan tidak lagi dilihat dalam sempadan kawasan hutan simpan semata-mata, tetapi dalam konteks yang lebih luas termasuk kawasan pinggiran hutan, koridor ekologi dan kawasan guna tanah lain yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan