Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jemaah Haji Diseru Hargai Peluang, Perbanyak Ibadah Di Tanah Suci

20/04/2026 06:08 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MADINAH, 20 April (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia diseru menghargai peluang berada di Tanah Suci dengan memperbanyak ibadah serta memanfaatkan sepenuhnya masa di Madinah ketika ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata Madinah bukan sekadar destinasi persinggahan sebelum ke Makkah, sebaliknya sebuah kota bersejarah yang menyimpan perjuangan Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

Ad Banner

“Inilah peluang besar untuk jemaah menghayati sejarah perjuangan Islam, memperbanyak doa, bermunajat dan memohon kesejahteraan untuk diri, keluarga serta negara.

“Kita berharap semua jemaah menggunakan masa sebaik-baiknya untuk beribadah sebanyak mungkin di kota penuh keberkatan ini sebelum berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah dan seterusnya ibadah haji,” katanya pada Isnin.

Mohd Hisham berkata pelbagai aktiviti telah disusun Tabung Haji (TH) agar jemaah berpeluang menziarahi tempat bersejarah termasuk makam Rasulullah SAW, tanah perkuburan Baqi’ dan Bukit Uhud, selain diberi peluang bermunajat di Raudhah. 

Ad Banner

Beliau berkata demikian selepas menyantuni 284 jemaah kumpulan kelima (KT5) yang tiba di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, di sini. 

Dengan ketibaan terbaharu itu, jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia di Madinah kini mencecah lebih 1,700 orang, termasuk kumpulan KT6 yang telah tiba dengan selamat.

Operasi Haji 1447H/2026M dijangka membawa sebanyak 31,600 jemaah Malaysia secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas yang dikendalikan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan