Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inisiatif Sokong Kesihatan Mental Di Tempat Kerja Tanggungjawab Majikan -- Lee Lam Thye

19/04/2026 11:36 AM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Majikan perlu menyedari bahawa mewujudkan persekitaran kerja psikososial yang selamat dan menyokong bukan satu pilihan tetapi merupakan tanggungjawab kepada mereka, kata Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata ini termasuk menggalakkan perbincangan terbuka tentang kesihatan mental tanpa rasa takut akan stigma atau diskriminasi, serta menyediakan akses kepada sumber kesihatan mental, kaunseling dan program bantuan pekerja.

"Majikan juga perlu melatih pengurus untuk mengenali tanda-tanda awal tekanan mental dan menyantuni dengan empati, sambil memastikan beban kerja yang munasabah, keseimbangan kerja-kehidupan dan layanan yang adil di semua peringkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Lee berkata organisasi juga mesti mewujudkan dasar yang jelas untuk menangani masalah buli, gangguan dan budaya toksik di tempat kerja.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pekerja harus digalakkan untuk mengutamakan kesejahteraan mental mereka, mendapatkan bantuan apabila diperlukan dan saling menyokong dalam memupuk budaya prihatin dan persefahaman.

Beliau juga menyarankan kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk memperkukuh lagi dasar dan mekanisme penguatkuasaan bagi melindungi kesihatan mental di tempat kerja, termasuk mengintegrasikan kesihatan mental ke dalam rangka kerja keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Organisasi, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, juga harus digalakkan untuk menerima guna amalan terbaik dalam mempromosikan kesejahteraan mental," katanya.

Selain itu,  Lee berkata untuk membicarakan secara terbuka mengenai kesihatan mental memerlukan komitmen daripada semua pihak, termasuk majikan, pekerja dan masyarakat umum.

"Tiada siapa yang sepatutnya menderita seorang diri. Sudah tiba masanya kita mengakui bahawa kesihatan mental penting di setiap tempat kerja, di setiap peringkat dan untuk setiap individu," katanya.

Beliau menyatakan bahawa tema “Tampil Bersuara: Kesihatan Mental di Tempat Kerja” merupakan seruan untuk bertindak, memandangkan sebahagian besar perbualan di tempat kerja menjurus kepada produktiviti, prestasi dan keuntungan manakala kesihatan mental masih diabaikan.

"Tenaga kerja yang sihat dari segi mental boleh memberi tumpuan yang baik kepada kerja, produktif dan berdaya tahan. Sebaliknya, kesihatan mental yang buruk boleh menyebabkan ketidakhadiran kerja, prestasi merosot dan peningkatan kos penjagaan kesihatan, yang bukan sahaja menjejaskan organisasi tetapi juga keluarga dan komuniti," tegasnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan