KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Luqman Kamil Jamaluddin, 16, yang ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang ketika mencari kepah di Pantai Balok, Pahang semalam.
Fadhlina menerusi catatan di Facebook hari ini berkata keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini adalah untuk memastikan bantuan terbaik dapat disalurkan kepada keluarga Luqman Kamil.
“Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kesabaran dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Dalam kejadian petang semalam, Luqman Kamil yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan dilaporkan lemas ketika mencari kepah di Pantai Balok.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa dalam kenyataan berkata mayat pelajar berkenaan ditemukan pada 2.15 petang tadi dalam keadaan terapung kira-kira 400 meter dari kuala oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi sejak semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial