BUTTERWORTH, 18 April (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk kali pertama akan menganjurkan ekspo bertaraf antarabangsa Resilient Asia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 24 hingga 26 April.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA Datuk Abdul Gapar Abu Bakar berkata ekspo itu menghimpunkan pakar pengurusan bencana dari dalam dan luar negara yang akan mempamerkan teknologi terkini serta kaedah terbaik mitigasi dan tindak balas ketika bencana.
“Secara keseluruhan kita ada lebih kurang 50 pempamer dengan 20 dari luar negara seperti China, Turkiye dan negara Asia lain, yang akan membawa pelbagai teknologi terkini seperti dron, sistem sensor serta sistem amaran awal bagi tujuan keselamatan dan penyelamatan ketika bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Latihan Simulasi dan Pelan Evakuasi Bencana Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNE) Bahan Berbahaya (Hazmat) Peringkat Pulau Pinang 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya, di sini hari ini.
Abdul Gapar berkata ekspo itu dibuka kepada orang awam secara percuma dan pihaknya menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya pelajar sekolah bagi mendapatkan pendedahan serta ilmu berkaitan pengurusan bencana.
Beliau berkata penganjuran ekspo itu diharap dapat meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kesiapsiagaan menghadapi bencana serta memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek pengurusan bencana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial