Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Rancang Perluas Tanaman Jagung Bagi Stabil Harga Ayam

17/04/2026 09:18 PM

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Sabah merancang membuka sekurang-kurangnya 404.6 hektar ladang jagung tahun ini sebagai langkah mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap import makanan ternakan ketika ini yang mencecah 98 peratus, sekali gus membantu menstabilkan harga ayam dan telur di pasaran.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Jamawi Jaafar berkata peningkatan kos pengangkutan kapal telah memberi kesan langsung kepada harga import makanan ternakan.

“Apabila kos pengangkutan kapal meningkat, maka harga bahan import turut naik dan keadaan itu memberi kesan kepada kos penternakan serta harga ayam dan telur di pasaran. Sebab itu kita tidak boleh sekadar bercakap soal menurunkan harga ayam, sedangkan kos makanan ternakan masih tinggi.

Ad Banner

“Saya telah pun dapat peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebanyak RM25 juta untuk tahun ini bagi membuka 1000 ekar (404.6 hektar) tanaman jagung secara komersial,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kupi-Kupi Bersama Media di sini hari ini.

Beliau berkata pembukaan ladang jagung berkenaan dijangka meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) makanan ternakan kepada 20 peratus tahun ini.

Sasaran itu, katanya dijangka meningkat kepada 30 peratus tahun depan sekiranya tambahan 404.6 hektar lagi dapat dibangunkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata harga telur yang tinggi di Sabah turut dipengaruhi kos makanan ayam yang masih bergantung kepada import, khususnya jagung.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan