Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dakwaan Kawasan 127.3 Hektar Di Pulau Sebatik Milik Indonesia Tidak Selaras Rekod Rasmi

17/04/2026 06:12 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Dakwaan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik, Sabah, yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini menjadi milik Indonesia, adalah tidak tepat dan tidak selaras dengan rekod rasmi yang dipersetujui kedua-dua negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang disepakati kedua-dua negara pada 18 Feb 2025, Indonesia hanya memiliki kawasan seluas 123 hektar di Pulau Sebatik, manakala Malaysia memperoleh perluasan wilayah sebanyak lima hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.

"Penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik ini telah dibuat secara berpakej dengan penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, iaitu Malaysia telah memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini berada dalam wilayah Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner

Arthur berkata penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan kepada Boundary Convention 1891 yang  ditandatangani antara kerajaan British dan Belanda pada 20 Jun 1891.

"Berdasarkan Artikel Empat (IV) perjanjian tersebut, jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ditetapkan di sepanjang garisan latitud 4º 10’ Utara," katanya

Arthur berkata pada 1983, hasil semakan teknikal di lapangan secara bersama Malaysia-Indonesia telah mendapati terdapat perbezaan antara jajaran sempadan yang direkodkan di lapangan berbanding dengan Boundary Convention 1891.

Ad Banner

Beliau berkata setelah berunding selama 35 tahun berhubung perbezaan itu, Malaysia dan Indonesia menyepakati satu resolusi yang diluluskan pada Oktober 2018 bagi menyelesaikan persempadanan di Pulau Sebatik untuk mematuhi prinsip konvensyen asal yang termeterai sejak 135 tahun lepas.

Sehubungan dengan itu, Arthur berkata kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula telah dilaksanakan pasukan ukur kedua-dua negara dari Februari hingga November 2019, menggunakan peralatan ukur moden serta teknologi terkini, bagi memastikan jajaran sempadan ditentukan dengan lebih tepat selaras dengan prinsip perjanjian asal.

"Pemuktamadan jajaran sempadan ini telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman antara Malaysia dengan Indonesia pada 18 Feb 2025, sekali gus menandakan satu pencapaian signifikan kepada rundingan dan kerjasama teknikal yang telah berlangsung selama lebih 45 tahun," katanya.

Arthur berkata keseluruhan proses semakan dan penentuan sempadan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan prinsip pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung-rugi.

"Pemuktamadan jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ini memberikan kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, pengurusan keselamatan, perancangan pembangunan serta pengurusan tanah dan sumber dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan," katanya.

Arthur berkata Malaysia dan Indonesia akan terus berusaha menangani isu persempadanan secara berhemah, berpaksikan semangat muhibah dan setiakawan melalui pendekatan diplomasi bagi mengekalkan keharmonian serta mengelakkan konflik di lapangan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa  Kerajaan Negeri Sabah sentiasa dilibatkan secara konsisten dalam setiap peringkat rundingan teknikal dan diplomatik melalui penyertaan wakil daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS).

Pada Rabu, media melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP) Indonesia M Qodari berkata kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini sah menjadi milik Indonesia.

Namun, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo dilaporkan mengesahkan laporan media dari negara itu yang mendakwa sebahagian kawasan Pulau Sebatik di Sabah kini berada dalam wilayah republik berkenaan adalah tidak benar.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan