Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

"War Room" Perkukuh Kesiapsiagaan, Pemantauan Hadapi Perubahan Iklim Ekstrem

16/04/2026 04:53 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan pusat bilik operasi atau War Room sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim ekstrem melalui pendekatan keseluruhan kerajaan. 

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini memaklumkan War Room dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

“War Room ini menjadi nadi pemantauan strategik negara dengan menggabungkan data, kepakaran dan tindakan pelbagai agensi secara bersepadu bagi memastikan bekalan air negara kekal terjamin, stabil dan berdaya tahan.

Ad Banner

“Penubuhan War Room ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk beralih daripada pendekatan reaktif kepada yang lebih proaktif dan berpaksikan data dalam mengurus cabaran air negara, khususnya dalam situasi cuaca semakin tidak menentu akibat perubahan iklim global,” menurut kenyataan SPAN itu.

Melalui platform ini, koordinasi antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta operator air diperkukuh bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan dilaksanakan dalam menghadapi sebarang risiko gangguan bekalan air.

Pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) kini dilaksanakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di beberapa negeri yang berdepan dengan penyusutan paras empangan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan pemantauan semasa, situasi bekalan air secara keseluruhannya masih terkawal, namun beberapa empangan menunjukkan trend penurunan paras air yang memerlukan perhatian rapi susulan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menggerakkan pelbagai langkah mitigasi secara bersepadu merentasi agensi dan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Antara langkah dilaksanakan ialah penyediaan bekalan air alternatif, pemasangan teknologi rawatan tambahan serta pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari sumber alternatif,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPAN, pelaksanaan projek infrastruktur air jangka panjang turut dipergiat bagi meningkatkan keselamatan air negara, termasuk usaha mempelbagaikan sumber air dan memperkukuh keupayaan sistem sedia ada agar lebih tahan terhadap impak perubahan iklim ekstrem.

“Walaupun terdapat gangguan bersifat setempat, majoriti kawasan masih menikmati bekalan air yang stabil.  Namun, kerajaan menegaskan bahawa kerjasama rakyat amat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan air negara.

“Justeru, orang ramai diseru untuk mengamalkan penggunaan air secara berhemat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam menjamin keselamatan sumber air, kesejahteraan rakyat dan kemampanan negara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai kini boleh memantau status semasa sumber dan bekalan air di 43 empangan utama negara secara telus dan masa nyata melalui platform War Room di: https://warroom.span.gov.my/warroom.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan