SHAH ALAM, 16 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang merangkumi beberapa langkah jangka segera dan sederhana untuk membantu rakyat serta industri menghadapi krisis tenaga global.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata menerusi pakej itu sebanyak RM130.42 juta diperuntukkan bagi fasa pertama yang akan bermula Jun, setelah kerajaan negeri membuat semakan belanjawan tahunan dan beberapa langkah penjimatan.
Beliau berkata pakej itu bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan yang paling terkesan.
“Keadaan (konflik di Asia Barat) ini memberikan gambaran bahawa cabaran yang bakal kita hadapi ini tidak akan reda dalam jangka pendek dan sekiranya perang ini reda pun, keupayaan ekosistem minyak mentah, gas, baja, sulfur dan helium akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk kembali kepada kadar pengeluaran sebelum perang.
“Itu sebabnya, di Selangor kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat tetapi kita harus membuat persediaan menghadapi situasi ini untuk tempoh yang panjang,” katanya pada sidang media khas berhubung Strategi Persediaan Kerajaan Negeri Selangor Mendepani Krisis Asia Barat di Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Menerusi pakej itu, Amirudin berkata sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk Jelajah Ehsan Rahmah (JER) 2026 melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan berlangsung sebulan sekali pada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.
Beliau berkata peruntukan itu mampu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah, dan bakal memanfaatkan hingga 168,000 isi rumah.
Usaha ini adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada RM5 juta yang menjadikan keseluruhan JER 2026 sebanyak RM10 juta.
Bagi meningkatkan stok bekalan makanan, Amirudin berkata kerajaan negeri akan memperuntukkan RM50 juta untuk Gudang Makanan Selangor (GMS), iaitu RM25 juta daripada sumber kewangan negeri dan RM25 juta daripada simpanan PKPS.
“Langkah ini supaya sekiranya berlaku sebarang kekurangan import makanan, Selangor dapat mengaktifkan GMS yang mempunyai stok seperti beras dan protein agar harga barang mentah tidak melonjak terlalu tinggi,” katanya.
Amirudin berkata bagi mengawal kesan inflasi supaya tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat, kerajaan negeri akan memperkenalkan Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 50,000 warga Selangor melibatkan RM30 juta peruntukan.
Pelaksanaan langkah itu untuk memastikan tiada rakyat yang hidup dalam keadaan kemiskinan tegar sekiranya kehilangan pekerjaan ataupun punca pendapatan pada tahun ini.
Sebagai langkah menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam, beliau berkata RM30 sebulan akan diberikan kepada 50,000 warga Selangor untuk tempoh enam bulan bagi mengurangkan kos menaiki van Demand Responsive Transit (DRT), bas ataupun kereta api sehingga akhir tahun ini, yang melibatkan RM5.4 juta peruntukan.
-- BERMAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial