Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

732 KIR Berjaya Dinoktahkan Setakat Disember 2025, Perak Sifar Miskin Tegar - Exco

16/04/2026 11:27 AM

IPOH, 16 April (Bernama) -- Sebanyak 732 Ketua Isi Rumah (KIR) di Perak berjaya dinoktahkan daripada status miskin tegar setakat Disember 2025, sekali gus mencapai matlamat sifar miskin tegar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata sebanyak 11,648 KIR atau 45 peratus telah berjaya keluar daripada status miskin, melepasi sasaran nasional iaitu 33 peratus.

“Pada peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keberkesanan bantuan turut dinilai berdasarkan keupayaan memenuhi keperluan asas, peranan bantuan sebagai sokongan sosial dan alat pemulihan serta tahap pengurangan kebergantungan penerima terhadap bantuan.

Ad Banner

“Sehingga Mac 2026 sebanyak 55,514 penerima bantuan telah menerima manfaat bantuan kewangan bulanan di Negeri Perak,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) yang bertanya mengenai mekanisme memastikan golongan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir akibat kekangan peruntukan di Negeri Perak.

Salbiah berkata pendekatan mengenal pasti golongan miskin tidak terhad kepada pendaftaran pasif semata-mata, sebaliknya turut diperkukuh dengan pelaksanaan program turun padang.

Ia termasuk melalui program Ziarah Kasih, lawatan ke rumah oleh JKM, Pejabat Daerah serta penglibatan penghulu dan komuniti setempat bagi mengesan kes-kes yang tidak tampil memohon bantuan tetapi sebenarnya berada dalam keadaan memerlukan.

Sebagai usaha memperkukuh lagi sistem penyampaian bantuan, kerajaan negeri telah memperkemas  Program One Stop Centre Sejahtera Sosial bagi tahun 2026 sebagai satu pendekatan baharu yang lebih berfokus dan berimpak.

“Program ini merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan sejak tahun 2024, namun telah ditambah baik kepada model intervensi berasaskan keluarga.

“Melalui pendekatan ini, setiap daerah akan mengenal pasti sekurang-kurangnya seratus Ketua Isi Rumah daripada kategori miskin dan miskin tegar dalam data eKasih untuk dijadikan keluarga sasaran dan melalui proses profiling menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menekankan bantuan kerajaan negeri pada hari ini tidak lagi tertumpu kepada pemberian bantuan kewangan secara bulanan semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan kepada aspek pengupayaan diri dan ahli keluarga melalui penyertaan dalam program latihan kemahiran seperti TVET serta keusahawanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan