Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NRES Di Fasa Akhir Muktamad Pindaan Akta 127, Dijangka Dibentang Pada 2027

15/04/2026 05:15 PM

BANGI, 15 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini dalam fasa akhir memuktamadkan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang menyeluruh bagi menangani isu alam sekitar yang lebih kompleks. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata NRES menyasarkan untuk membentangkan pindaan terhadap akta berkenaan di Parlimen pada awal 2027.

“(Pindaan ini) akan memberikan kuasa lebih luas kepada anda (penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar) untuk bertindak,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke-51 di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata aspek pemerkasaan teknologi merangkumi penggunaan dron dan kecerdasan buatan (AI) yang turut dilaksana bagi memperkasakan lagi aspek penguatkuasaan.

“Kita mesti mendahului penjenayah alam sekitar dari segi teknologi. Penggunaan dron, sensor Internet Benda (IoT) dan AI dalam pemantauan akan ditingkatkan. 

“Namun, harus diingat secanggih mana pun teknologi yang kita miliki, ia hanyalah alat bantuan. Kekuatan sebenar tetap terletak pada kecekapan dan naluri manusia yang mengendalikannya,” katanya. 

Arthur turut menegaskan operasi penguatkuasaan juga akan dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Beliau ketika ditemui selepas majlis itu berkata kementerian meneliti pindaan terhadap Akta 127 bagi memperluas bidang kuasa penguatkuasaan untuk anggota JAS melaksanakan penugasan dengan lebih baik.

“Kami sedang membuat beberapa penambahbaikan di bawah JAS seperti pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk meluaskan lagi dan juga meningkatkan lagi kuasa di bawah JAS.

“Ia supaya mereka boleh melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan dan kami juga sentiasa memperbaiki operasi JAS,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan